Ezam: Mula Buka Langkah

 

Maka betullah bahawa politik ialah seni serba mungkin. Mana mungkin bahawa suatu hari nanti Ezam yang gaya pidatonya mirip mantan boss beliau Anwar Ibrahim akan kembali kepada UMNO. Arakian, dikhabarkan berita ini akan diterangkan oleh beliau setibanya beliau di Kuala Lumpur minggu hadapan. Beliau sekarang berada di London. Jika benar telahan media bahawa beliau akan kembali kepada UMNO , parti yang paling beliau kritik sejak 10 tahun lepas, maka saya akan terus sahaja membuat kesimpulan seperti berikut:

1) Dalam politik kuasa adalah segala-segalanya. Rakan hanya menjadi rakan apabila diperlukan, untuk kuasa rakan boleh menjadi musuh;

2) Ezam bagi ahli UMNO akan dianggap sebagai talam dua  muka kerana tergamak menghunus keris menikam rakannya kembali;

3) Ezam bagi rakan-rakannya di dalam KeADILan akan dianggap sebagai “traitor” kepada perjuangan yang didokonginya selama ini;

4) Mengambil kira risiko di atas, Ezam hanya akan masuk UMNO jika ditawarkan jawatan tinggi dalam kerajaan , saya fikir paling kurang pun mestilah Timbalan Menteri;

5) Sudah tentu sebagai balasan kepada perkara di atas , UMNO menuntut Ezam mendedahkan berapa kotak mancis yang beliau ada bagi mendedahkan segala kelemahan Parti Keadilan Rakyat atau lebih tepat mantan boss beliau Anwar Ibrahim;[ingat lagi tentang beberapa kotak dokumen dahulu]

6) Tamatnya panggilan “wira” dan “pemimpin wibawa” dan “pejuang rakyat” yang sentiasa menjadi miliknya sebelum ini.

Episod ini mendedahkan kepada kita akan beberapa watak desperado dalam kancah politik negara. Biarkah masa, keadaan menentukan episod politik seterusnya…

Mencari Guru Murshid

Selamat Hari Guru kepada semua guru, tenaga pengajar yang tanpa penat dan lelah menyampaikan ilmu mereka padaku. Sampaikanlah walau sebutir ayat! Itulah sabda Rasulullah S.A.W dalam memastikan segala apa yang disabdakan melalui katanya, perbuatannya dan taqrirnya disampaikan oleh umat ini bagi memastikan umat Islam sentiasa dirahmati Allah.

Peri pentingnya kita berguru dengan guru yang “murshid”. Guru yang murshid menurut Imam Ghazali ialah guru yang mampu menyuluh cahayanya membantu memberi petunjuk kepada kita melalui lorong-lorong gelap dan sempit dalam kehidupan manusia. Guru murshid bukan hanya menyampai ayat-ayat keramat bagi memandu penghidupan tetapi juga menjadi unsur inspirasi. Ketakwaannya kepada Allah mampu membantu kita mempertingkatkan tingkatan nafsu dari mungkin “amarah bi suk” kepada “lawwamah” atau dari “lawwamah” kepada nafsu yang dijanjikan syurga oleh Allah S.W.T yakni nafsu “mudmainnah”.

Maka mencari guru yang murshid adalah dituntut, alangkah rugi dalam sisa-sisa kehidupan ini kita gagal mencari guru yang murshid bagi membimbing kita.

Selamat Hari Guru!

Mauritania Ada Mutiara di Sebalik Pasir

Hari ini adalah hari terakhir aku di tanah Barat Afrika , Mauritania. Selepas berada di sini lebih kurang 7 hari, malam ini aku akan berangkat pulang. Tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke kabin kapal terbang , mengambil naskhah surat khabar Melayu dan memesan teh tarik lalu lentok di atas kerusi boleh baring terbaru disediakan MAS sambil menonton filem Perancis. Ini adalah permainan minda ku sebelum aku pulang malam ini. Oh ya mana tiket ya… hah ini dia sudah ku minta bantuan staff disini membantu aku memeriksa sekali lagi dokumen perjalanan supaya tidak keruan di lapangan terbang Noukchott nanti.

Walau apa pun, Mauritania ialah negara yang eksotik , bentuk muka buminya diselaputi pasir-pasir halus bergurun dan cuacanya yang kering. Aku mungkin menganggap ini adalah lawatan terakhir ku kesini tetapi beberapa orang rakan tempatan di sini mendoakan supaya ini bukanlah lawatan yang terakhir maka aku pasrah sahaja. Mungkin juga, ya mana tahu aku mungkin ke sini sekali lagi dengan wadah yang lain pula.

Mauritania walaupun dianggap sebagai “least developed country” tetapi negara ini semakin membangun dengan syarat kerajaannya sedikit bijak dan tahu mengurus ekonomi negara. Acapkali aku terlihat dan terdengar negara-negara Afrika begitu mudah memohon bantuan luar terutama dari orang kulit putih bagi merangka pelbagai program negara sehinggalah kepada menggubal undang-undang tertentu. Maklumlah kepakaran dari negara maju tidak semestinya bersesuaian dengan suasana dan kehendak negara dan munkin rangka kerja itu bukan sahaja tidak bersesuaian malah merugikan negara. Ini adalah contoh di mana Mauritania masih tidak dapat selidiki. Pemimpinnya masih tidak arif tentang keperluan masyarakat dan tadbir urus yang baik. Natijahnya, dilihat di tepi-tepi jalan penuh dengan pengemis entah dari mana dan keadaan umat Islam yang dihimpit kemiskinan. Oh umatku! Apa hendak jadi…tidak hairan jika ada orang berpandangan Islam ini jumud dan menggalakkan umatnya hidup dalam kemiskinan.

Aku mengambil kesempatan untuk juga sembang bual dengan rakyat tempatan dan terkejut apabila daya fikir mereka tidak kurang hebatnya malah lebih baik dari sesetengan rakyat Malaysia yang ku jumpa. Walaupun kemudahan di sini bolehlah dikatakan kelas ketiga tetapi pemikiran rakyatnya amat baik, bersopan santun dan rajin bekerja. Mereka bersemangat untuk membebaskan negara mereka dari lembah kemiskinan dan kehinaan, cuma mereka masih merangkak.

Ya Mauritania membuka paradigma aku tentang dunia. Tanah Afrika mengajar aku seribu satu pengajaran. Rasa syukur di Malaysia…walaupun ada perkara tertentu yang masih boleh diperbaiki. Moga Allah membantu melimpahi rahmatnya disini…moga mereka boleh bangkit dari kemiskinan!

Perlu Faham Isu

Hasutan

Sudah lama saya tidak berblog , kerana tuntutan tugas. Mutakhir banyak sekali isu-isu yang terpampang di dada akhbar dan yang paling panas berkenaan isu Karpal Singh yang dikatakan “menderhaka” terhadap Sultan Perak kerana menyatakan Tuanku tidak mempunyai kuasa di dalam urusan perlantikan semula pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Kalau tidak silap saya beliau menyatakan “pada pandangan saya…”. Bagi saya itu adalah pandangan beliau dan tidak pula berbentuk hasutan. Bagi saya hasutan terjadi apabila seseorang itu mempengaruhi pemikiran orang ramai sama ada dalam bentuk tulisan , ucapan bagi mempertikaikan beberapa perkara pokok yang sudah termaktub dalam Perlembagaan antaranya:

a) Kedaulatan raja-raja Melayu;

b) Kedudukan istimewa orang Melayu;

c) agama Islam sebagai Agama Persekutuan; dan

d) Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Kenyataan Karpal ialah pandangan peribadi beliau mengenai konsep Raja Berpelembagaan yang difahaminya dan tidaklah sampai mempertikaikan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Walauapapun buat YB Karpal , jika perlu tidak perlulah bersuara berkenaan perkara-perkara “kelabu” seperti ini kerana sebab mulut badan binasa.

Pakatan Rakyat Memerintah Malaysia?

Ini satu lagi isu yang agak hangat dibincangkan akhir-akhir ini, berkenaan betapa yakinnya Datuk Seri Anwar untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dalam masa terdekat. Khabarnya 17 ahli dewan rakyat Barisan Nasional akan pindah parti hari Rabu ini. Entah benar atau tidak kita tunggu sahaja episod seterusnya. Bagi saya terpulanglah untuk ahli dewan rakyat untuk memilih parti mana yang mereka inginkan kerana ini adalah hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan hak berpersatuan (freedom of association) cuma tidaklah adil kerana rakyat sudah memilih mereka sewaktu mereka mewakili parti-parti tertentu. Mungkin ada baiknya undang-undang anti lompat parti yang akan digubal ini tidak menghalang mereka berbuat demikian tetapi pilihanraya semula hendaklah diadakan. Barulah adil kepada rakyat memilih untuk membuat keputusan semula.

Piala Thomas

Agak gembira walaupun berada di perantauan sekarang ini Malaysia berjaya menumpaskan England 5-0 dan pasukan piala Uber juga tidak kurang hebatnya dan menang penuh bergaya semalam. Saya hanya pulang ke Malaysia pada 16hb nanti dan khabarnya waktu itu sudah berlangsungnya pusingan separuh akhir. Harapan untuk melihat Malaysia ke akhir paling kurang …jika benar hari minggu saya pada minggu hadapan mungkin di hadapan kaca tv bagi menyokong pasukan kesayangan.

Dewan Kosmik Bulan Mei

 

Dewan Kosmik Mei 2008

 

Fokus:
Mahkamah Sains: Realiti atau Fantasi?
Oleh Sabri Mohamad Sharif


Artikel fokus lain:
Jenayah Siber: Kebebasan Tanpa Tanggungjawab? oleh Mohd Jamizal Zainol

Artikel lain yang menarik:

Madu Membunuh Bakteria oleh Muhammad Abhar Rosnan

Bersin Bawa Rahmat atau Laknat? oleh Nik Khartina Nik Man
Sains di Sebalik Emosi
oleh Saharil Hasrin Sanin
Sindrom Keletihan Kronik
oleh Dr. Danial Zainal Abidin
Saya ada menulis untuk Dewan Kosmik bagi bulan Mei sila dapatkan Dewan Kosmik untuk bacaan lanjut.