Antara Pejuang Kemerdekaan dan Pejuang Ideologi

Di Malaysia sekarang ini begitu hangat dengan polemik siapa pejuang kemerdekaan yang sebenar sekonyong Timbalan Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) Mohammad Sabu semasa dalam ucapan politiknya mengatakan Mat Indera yang menyerang balai polis Bukit Kepong juga ialah seorang pejuang kemerdekaan. Mat Indera dikatakan seorang pejuang gerila bersenjata di bawah Parti Komunis Malaya (PKM) yang ketika itu dengan ganas menyerang dan membunuh anggota polis Melayu di Bukit Kepong. Akibatnya, ramai yang marah dan terluka dengan pendedahan Mohammad Sabu terutamanya sang adikuasa UMNO dan anggota keselamatan seperti polis dan tentera

 

Saya melihat polemik ini sebagai positif dalam ertikata ia membongkar semula erti pensejarahan kemerdekaan negara dan rakyat dapat melihat isu ini dari pelbagai aspek dan kacamata sama ada undang-undang, falsafah dan politik. Saya fikir tidak keterlaluan jika polemik ini kita selesaikan dengan memberi makna kepada pejuang kemerdekaan. Siapakah pejuang kemerdekaan? Adakah Parti Komunis Malaya yang melancarkan serangan secara gerila terhadap British juga boleh dikatakan sebagai Pejuang Kemerdekaan?

 

 

Di dalam polemik ini saya melihat Inggeris dan Komunis kedua duanya adalah penjajah yakni penjajah yang berjuang bagi menegakkan ideologi masing-masing yakni kapitalisme dan komunisme. Kedua-duanya menggunakan cara bersenjata bagi menegakkan ideologi masing-masing di Tanah Melayu dan yang menjadi mangsanya ialah anak watan yang dipaksa menerima ideologi tersebut. Cuma sejarah telah menunjukkan bahawa cita-cita PKM untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai Republik Komunis telah ditewaskan oleh pihak Inggeris dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

 

Saya berpendirian penjajahan Barat ke atas Tanah Melayu di dasari oleh ideologi kapitalisme yakni idea ekonomi yang melihat kepada pengambilan keuntungan maksima dan pasaran bebas.  Pada mulanya Inggeris datang ke Tanah Melayu atas nama perdagangan hasil daripada revolusi industri di Barat yang memerlukan kepada bahan bahan mentah seperti bijih timah tetapi lama kelamaan Inggeris melihat perlunya kawalan ke atas Tanah Melayu bagi memastikan kepentingan perdagangan dan pengambilan keuntungan secara maksima mereka tidak tergugat.

 

Bagi PKM pula perjuangan mereka ialah menegakkan ideologi komunisme yang melihat kapitalisme sebagai musuh nombor satu. Perjuangan komunisme berteraskan tiadanya pemilikan individu dan menolak sebarang bentuk manipulasi kepada golongan ‘proletariat’ (pekerja) oleh golongan ‘bourgeois’ (pemodal) . Komunisme percaya bahawa golongan pemodal ini melalui dasar kapitalisme telah menekan golongan pekerja bagi mendapatkan keuntungan maksima. Komunisme berjuang  bagi menolak sebarang bentuk penindasan terhadap golongan pekerja dan menegakkan masyarakat tanpa kelas.

 

Akibat dari pertentangan kedua-dua ideologi ini yang melibatkan pertentangan secara bersenjata telah bukan sahaja melibatkan Tanah Melayu tetapi juga di negara-negara lain termasuk di Rusia dan China di mana di kedua dua buah negara tersebut secara rasmi telah menerima ideologi komunisme hasil dari peperangan yang panjang.

 

Di China misalnya Revolusi 1949 ialah suatu peristiwa transformatif yang bukan hanya melibatkan bangsa Cina tetapi juga kepada seluruh manusia. Begitu juga Revolusi Bolshevik di Rusia (yang membawa kepada pembentukan Soviet Union) telah membawa kepada perjuangan berterusan bagi memikat hati dan pemikiran manusia sejagat kepada ideologi komunisme. Ramai cendekiawan, pemerhati dan pengamal politik dan media melihat perjuangan ini ialah suatu pergulatan ideologi antara komunisme dan kapitalisme yang ingin menguasai dunia melalui ideologi masing-masing.

 

Konflik kedua-dua ideologi ini adalah ibarat “Perang Salib” yang mempengaruhi sebarang bentuk kehidupan sosial. Bagi mereka yang mempertahankan status-quo yakni ideologi kapitalisme yang di bawa oleh Barat akan melabelkan ideologi komunisme sebagai anti kebebasan, kebaikan, demokrasi dan pencerahan. Bagi mereka yang menentang status-quo pula akan berhujah bahawa komunisme telah menemui kejayaan dan mampu menjadi ideologi yang ampuh alternative kepada kapitalisme Barat dengan kejayaan revolusi di China dan di Rusia.

 

Pergulatan berterusan kedua-dua ideologi ini telah membawa kepada penjajahan kepada negara-negara rantau sini yang telah memangsakan banyak nyawa mereka yang tidak berdosa.

 

 

Berdasarkan fakta di atas jelaslah bahawa Inggeris dan PKM kedua duanya ialah penjajah yang secara paksa dan menggunakan kekerasan memaksa anak watan untuk menerima ideologi masing- masing. Saya berpendirian penetapan ideologi dalam struktur politik dan dasar negara perlu dilakukan secara demokrasi dan terpulanglah kepada anak watan untuk menentukan dasar politik negara melalui lunas lunas demokrasi seperti pilihanraya. Biarlah mereka yang berjuang untuk menegakkan ideologi-ideologi ini menubuhkan parti politik mereka sendiri dan terpulangkan kepada anak watan untuk membuat pilihan melalui pilihanraya bagi memilih parti pemerintah dan bukannya melalui cara kekerasan!

 

Justeru jelas sekali , pejuang kemerdekaan yang sebenarnya ialah mereka yang menentang sebarang bentuk penjajahan ideologi secara kekerasan.  Mereka  berjuang membebaskan tanah air mereka dari kuasa penjajahan yakni menolak segala bentuk pentadbiran luar yang ditentukan oleh penjajah. Mereka mahu kebebasan dalam menentukan corak pentadbiran dan halatuju negara mereka sendiri. Nama-nama seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut dan Dato’ Maharajalela ialah antara mereka yang benar-benar berjuang untuk membebaskan Tanah Melayu dari sebarang bentuk penjajahan. Tidak ketinggalan mereka yang menentang PKM yang bertindak ganas membunuh mereka yang tidak berdosa juga boleh dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menolak perjuangan ideologi secara paksa.

 

Tetapi apabila sejarah dilihat dari sudut kepentingan politik kepartian maka sejarah menjadi begitu kabur. Kita sudah tidak dapat menilai antara fakta dan isu sebenar. Jika begini tidak hairanlah Winston Churchill pernah berkata “ Sejarah itu ditulis oleh pihak yang menang”.


 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: