Dialektika Faham Sufisme dan Falsafah #4

Saudara Imran,

Saya senang jika wacana kita berkenaan sufisme berteraskan sumber “primary” seperti yang sdr sebutkan di atas. Cuma mungkin tersebut di dalam Bahasa Arab dan agak sukar untuk mendapatkan tarjamahannya di dalam Bahasa Inggeris atau Melayu.

Ya kembali kepada Schoun antara tulisannya yang awal ialah berkenaan mauduk “The Transcendent Unity of Religions”. Mungkin tajuk ini ialah tajuk yang paling sensitif terutama di Malaysia. Ini dibuktikan dengan pengharaman buku yang di edit oleh oleh sdr Mustakim “Islam dan Pluralisme”.

Menisbikan sesuatu perkara mungkin agak berbahaya terutama kepada anak muda yang tidak ada asas agama Islam yang kukuh. Penisbian ini membuatkan umat gawat dan keliru akan hakikat kebenaran.

Saya mula teringan perjuangan “the Three Gangs” iaitu Socrates, Plato dan Aristotle yang bersusah payah berdialektika dan membuktikan kepada raktat Athens (Greek) bahawa adanya kebenaran yang hakiki dan menolak fahaman Nisibi/perenial ini.

Misalnya Socrates bisa sahaja memberikan dalil bahawa untuk memesan kepada seorang tukang kursi untuk membuat sebuak kerusi tidak perlu kita katakan begini:

“Wahai tukang kerusi bolehkah saudara buatkan sebuah kerusi yang ada empat kaki dan satu penyandarnya…”

Nah, jelas sekali jika ini lah yang dilafazkan maka sudah tentu ianya janggal sekali. Cukuplah kita berbicara begini:

“Wahai tukang kerusi bolehkah saudara buatkan saya sebuah kerusi?”

Ya, lebih mudah begitu tukang kerusi sudah memahami kehenadak si pemesan kerana semua orang tahu bahawa kerusi itu sifatnya ada 4 kaki dan penyandarnya.

Inilah kaedah dialektika dan logika yang cuba diterapkan oleh Socrates kepada penduduk Athens, bahawa ada perkara yang dikatakan hakiki dan menolak falsafah perenial dan kenisbian.

Saya yakin kembalinya falsafah perenial ini membawa kita kezaman Greek dahulu di mana Socrates, Plato dan Aristotle sudah berjuang habis-habisan untuk menentangnya dan saudara juga tahu akibatnya Socrates diracun.

Maka kita mungkin boleh bersetuju perenialisme dan nisbi tidak dapat diterima di dalam kerangka Al-Quran dan Islam.

Jamizal
9.40 a.m.
PUTRAJAYA

1:27am Feb 10th
Saudara Jamizal,

Saya baru saja pulang dari Batam. Berlibur bersama keluarga sempena cuti Tahun Baru Cina.

Sumber-sumber primary yang saya sebutkan itu semuanya sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris ataupun Indonesia (mungkin sukar dicari dalam bahasa Melayu kerana sememangnya kita tahu wacana keagamaan di Malaysia/Singapura agak lembab dan keterbelakang).

Mengenai ‘bahaya’ (atau mungkin lebih tepat ketakutan) terhadap kekeliruan yang mungkin berlaku pada anak-anak muda yang tidak kuat asas agama, ianya sudah biasa didengari dan terlalu sering dicanangkan oleh setiap kelompok yang malas berdialetika dan berhujah. Bukankah lebih mudah disenyapkan dan dikontrol setiap perbezaan pendapat agar tidak menggoncangkan status quo? Saya kira, sikap sebegini hanya takut pada bayang-bayang dan menunjukkan ‘insecurity’ terhadap keyakinan dan pendirian sendiri. Tetapi, bukankah al-Qur’an sendiri mengatakan “telah nyata kebenaran dari kesesatan” dan Nabi sendiri berpesan bahawa umumnya, umatnya secara majoriti tidak akan bersetuju pada kesalahan (dari situ timbul konsep Ahl al-Sunnah wal-Jamaah)? Maka apa perlu di-censor? Kalau yang men-censor itu, pasti yang punya kuasa dan kepentingan. Maka tafsir Islam yang mana dan oleh siapa yang wajar dipertahan dan yang lainnya diberangus dan dilenyapkan? Saya kira itulah persoalan yang cuba diterokai oleh El Fadl di dalam bukunya Speaking in God’s Name. Ironisnya, Socrates mati dibunuh atas alasan sama – iaitu, sang Raja menganggap Socrates “merbahaya” dan “meracunkan” minda anak-anak muda dengan persoalan-persoalan yang dibawanya melalui apa yang saudara sebutkan “dialektika”. (Sebenarnya, ada perbezaan antara ‘dialektika’ – yang dikonsepsikan oleh Karl Marx, dengan teknik Socrates – iaitu, disebut sebagai teknik ‘elenchus’.)

Mengenai soal adanya kebenaran hakiki, saya kurang mengerti apabila saudara kaitkan dengan perennial philosophy. Bukankan perennial philosophy itu sendiri memegang kuat pada konsep adanya kebenaran hakiki? Saya juga tidak mengerti apabila saudara kaitkan pula dengan persoalan falsafah antara “names” and “essences” – atau soal ontology – mengikut falsafah Plato/Yunani. Apabila saudara mengatakan Socrates, Plato dan Aristotle menentang falsafah perennial, terus-terang saya tidak dapat “connect” argument saudara (mengikut pemahaman falsafah Yunani yang saya pelajari waktu pengajian saya – yang kebetulan dalam bidang falsafah Barat).

Mungkin saudara dapat jelaskan dengan lebih lanjut?

6:34pm Feb 10th
Saudara Imran,

Tentu saudara gembira selepas libur sempena Tahun Baru Cina. Saya juga kebetulan didatangi oleh keluarga dari Kedah dan kebetulan saya mengadakan majlis kecil untuk bapa saya yang menyambut harijadinya yang ke-59.

Saya ucap terima kasih di atas kesudian saudara menerangkan lebih mendalam tentang mauduk yang kita sedang bicarakan. Saya secara peribadi memanglah tidak bersetuju dengan pengharaman sebarang buku di Malaysia. Tetapi jika dilihat di dalam kerangka Perlembagaan Malaysia, kerajaan bertangunggjawab memastikan umat Islam di Malaysia (yang tidak semuanya membaca dan mengamati sesuatu isu dengan objektif) tidak terpesong dengan doktrin atau ajaran yang “menyimpang”. Artikel 11(4) membenarkan setiap individu mengembangkan agama mereka tetapi tidak mengembangkan agama lain selain Islam kepada umat Islam di Malaysia.

Atas premis ini maka kerajaan bertanggungjawab bagi memastikan bahan bacaan yang diterbitkan tidak menggugat akidah Umat Islam. Saya faham tidak ramai daripada kita yang mempunyai asas-asas agama Islam yang kukuh. Mereka mungkin belajar agama pun agak lewat dan berpandukan buku-buku yang ditulis oleh orang yang bukan ahlinya.

Misal yang mudah mungkin kita boleh membandingkan rujukan apakah yang digunakan oleh saudara untuk mengetahui dan mendalami kisah hidup Rasulullah S.A.W. Buku the LIfe of Prophet yang dikarang oleh Martin Ling? Kahlil Gibran? Ramadan Al-Buty atau di Nusantara ini oleh Hamka sendiri.

Rujukan awal kita sudah tentu berbeza dan pengetahuan kita terhadap sesuatu mauduk di dalam Islam juga turut berbeza. Tetapi saya kira bagi pihak kerajaan mereka lebih melihat menjaga agama Islam dari sudut rakyat terbanyak. Tidak ramai umat Islam yang membaca dan mengkaji, maka apa yang paling mudah memastikan masyarakat Islam berpegang kepada perkara-perkara yang sudah dipersetujui oleh umat Islam terbanyak yakni 5 rukun Islam 6 Rukun Iman bagi memastikan perpaduan Umat Islam dapat dibentuk dan tiadanya kontroversi pemikiran yang boleh menggugat perpaduan umat Islam. Saya kira saudara tentu sahaja bersetuju kerana perkara ini dihuraikan panjang lebar oleh El-Fadl di dalam bukunya The Great Theft Wrestling Islam from the Extremist di dalam Bab 5 m/s 113.

Ya berkenaan persolaan saudara berkenaan persoalan maka mengapa saya katakan falsafah perenialisme bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Socrates tentang adanya kebenaran hakiki. Saya ingin menyorot kembali akan metod Socrates mencari kebenaran dengan menggunakan induksi dan definisi bagi menangkis golongan Sofis yang kebanyakannya orang politik dan berkepentingan.Mereka (aliran sofisme) mulai mengubah pandangan falsafah dari kosmos ke manusia sebagai makhluk yang berpengetahuan dan berkehendak. Aliran sofisme ini terlalu mengemukakan pendirian yang subjektif, relatif dan skeptis.

Maka Socrates timbul bagi membantah aliran ini dan mengatakan tiadanya perkara yang relatif dan subjektif. Falsafah perenialisme ialah faham yang subjektif dan bersifat subjektif. Mislanya Schuon dalam bukunya The Sufism: Veil and Quintessence menghuraikan sufime dengan mencampuradukkanya dengan ajaran Buddhisme dan Hinduisem jika tidak mana mungkin konsep atma, maya dan nirvana digunakan terus menerus dalam menerangkan konsep sufisme ini.

Paling ekstrim idea berkenaan kehidupan di label dan dikategorikan mengikut kategori faksafah hindu Brahmin, Kashtriya, Vaishiya. Ini boleh saudara lihat dihuraikan bercambah di dalam penulisan Schuon.

Sekarang mungkin saya tidak hairan mengapa beliau juga mempawa konsep kesatuan agama kerana beliau bisa sahaja menganggap semua agama membawa kepada nilai yang baik.

Wallahualam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: