Islam Kesejahteraan Untuk Semua Manusia

Islam “Rahmatan Lil Alamin” . Islam adalah rahmat untuk semua manusia. Perkataan yang mudah tetapi ramai yang masih belum faham. Perlu diingat sebagai Muslim kita amat dituntut melakukan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, bangsa, warna kulit dan agama.

Melakukan keadilan untuk semua adalah tangguungjawab seorang Muslim. Di negara Malaysia ini majoriti masyarakatnya adalah Islam. Kuasa politik masih di pegang oleh orang Islam. Perlu untuk kita memastikan semua yang berlindung di negara kita mendapatkan keadilan.

Jika seorang Muslim mampu melaksanakan keadilan dengan bijaksana maka saya pasti Islam akan dipandang lebih tinggi.

Saya tidak mahu mendengar ada di kalangan orang bukan Islam mempertikaikan seruan azan di negara ini dan menghormati syiar Islam ini kerana Agama Rasmi adalah agama rasmi negara ini dan saya yakin orang bukan Islam dapat memahami perkara ini.

Begitu juga , orang Islam perlu memastikan orang yang bukan Islam juga dapat menganut dan beribadat dengan bebas di negara ini dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Jangan di roboh tempat peribadatan mana mana agama sekali pun , kecuali selepas perbincangan dan konsultasi.

Dalam aspek ini rumah-rumah ibadat hatta masjid sekali pun tidak boleh dibina secara haram. Perlulah ianya mendapat kebenaran. Pihak berkuasa negeri perlulah mentadbir hal ini dengan adil dan memberikan penerangan sebaiknya kepada masyarakat.

Masih banyak isu lain yang lebih penting dalam membangunkan negara ini, kita sudah tidak mampu untuk membincangkan isu titik bengit terutama isu hubungan antara kaum di mana kita sudah merdeka 52 tahun. Isu bahasa, isu agama Islam sebagai agama rasmi, hak hak melayu dan bumiputera dalam perlembagaan, hak hak bukan melayu Islam semuanya sudah selesai kecuali bagi mereka yang cuba menggunakan isu kaum ini bagi menimbulkan suasana gawat kerana kuasa.

Pertahan Perlembagaan Maknanya Pertahan Melayu

Saya agak gelihati melihat gelagat beberapa orang tokoh melayu yang berdegang-degang menyuarakan ketuanan Melayu. Selepas rakyat bersuara melalui peti undi tempoh hari tanpa mengira kaum dan agama, beberapa kelompok yang kononnya cintakan ketuanan Melayu mengadakan rapat dan pertemuan itu dan ini bagi membincangkan masalah Melayu. Bagi mereka melayu sudah terpinggir kerana gasirnya kerusi Barisan Nasional di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri. Bagi mereka ketuanan Melayu diukur melalui berapa banyak kerusi yang pemimpin Melayu pegang di Parlimen mahupun DUN.

Sebenarnya, paradigma itu silap dan terpesong. Ketuanan Melayu bermaksud kembali mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan perlu direkayasa dan diletakkan di tempat yang sewajarnya. Merekayasa Perlembagaan bermakna mendaulat Islam sebagai agama persekutuan, mempertahankan hak-hak istimewa “bumiputera”, kebebasan suruhanjaya SPR dan Kehakiman dan menghormati hak asasi manusia dan institusi diraja.

Pakatan Rakyat di dalam manifesto mereka mewar-war perlunya rakyat mendaulatkan balik Perlembagaan. Setelah 50 tahun beberapa pencabulan Perlembagaan telah pun dilihat secara jelas antara lain:

a) Krisis kehakiman 1988 di mana Ketua Hakim Negara telah dipecat kerana tiadanya persefahaman dengan Eksekutif;

b) Krisis keyakinan rakyat terhadap kebebasan SPR bagi memandu pilihanraya negara ini dengan masih wujudnya beberapa perkara yang menimbulkan perbahasan seperti keperluan undi pos;

c) tiada lagi bantuan pelajaran biasiswa kepada Bumiputera ke pelajaran tinggi, kini semua hanyalah pinjaman seperti PTPTN di mana pelajar telah diajar berhutang sebaik sahaja mereka selesai pengajian;

d) Tanah rizab melayu sudah terhakis memandangkan kerajaan negeri terdahulu sudah mula menukar tanah-tanah rizab kepada tauke-tauke bagi pembangunan yang sedikit nikmatnya pada orang melayu;

e) terhakisnya kedaulatan agama Islam, ingat lagi kes the Zouq di mana pegawai agama di persalahkan kerana mengadakan pemeriksaan keatas pusat hiburan dan mendakwa umat Islam yang mabuk yang diperuntukkan dibawah Enakmen Undang-undang Islam; dan

f) Bagaimana konflik di antara pemerintah dengan Istana di dalam kes perlantikan MB di Perlis dan Terengganu melambangkan terhakisnya hormat terhadap institusi diraja.

Nota-nota di atas ialah sekian banyak pencabulan Perlembagaan yang dilakukan dan lantaran itu ketuanan Melayu semakin disanggah. Disarankan kumpulan-kumpulan cinta Melayu ini memikirkan perkara pokok yang lebih penting daripada mengadakan rapat-rapat dan perkompolan yang mendedangkan slogan semangat-semangatan yang tiada langsung faedahnya pada orang Melayu!.