Rais Yatim tentang ISA

Berikut adalah petikan tulisan mengenai ISA oleh seorang Menteri suatu ketika dahulu

Kuasa undang-undang mengikut ISA
Oleh Dr Rais Yatim

RAMAI orang tahu apa itu Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) atau dengan akronimnya yang lebih dikenali – ISA. Tetapi ciri, fungsi dan kuasa yang ada padanya jarang diketahui atau diperhitungkan. Sebenarnya elok jika undang-undang ini difahami, sekurang-kurangnya secara am, agar orang ramai lebih mengerti apabila berhadapan dengan persoalan keselamatan dalam negeri. ISA sebagai undang-undang yang berkesan dan berjasa menghadapi ancaman komunis, anasir subversif dan pengacau ketenteraman awam tidak perlu dipertikaikan lagi.

Seseorang yang dianggap membahayakan keselamatan dalam negeri boleh ditahan polis mengikut ISA. Individu atau kumpulan individu yang dianggap membahayakan sedemikian boleh ditahan untuk siasatan polis mengikut seksyen 73 ISA selama 60 hari atau bagi tempoh yang lebih singkat daripada itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan pada 20 September 1998 adalah tertakluk di bawah seksyen ini yang memperuntukkan bahawa barang siapa yang mengancam atau disyaki mengancam keselamatan dalam negara, termasuk melanggar ketenteraman awam, boleh ditahan untuk tujuan siasatan mengikut seksyen 73 ISA. Tindakan ini dinamakan tahanan eksekutif, justeru ia bukan salah satu daripada jenayah terdaftar.

Ketika seseorang sedang ditahan mengikut peruntukan seksyen ini biasanya tiada kemudahan ziarah atau lawatan dibenarkan, termasuk sanak saudara atau peguam. Ini adalah mengikut beberapa kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di negara ini. Langkah sedemikian adalah bagi membenarkan pihak polis membuat penelitian yang terperinci tanpa gangguan. Bagaimanapun, ada beberapa keadaan yang dilaporkan yang membenarkan lawatan dan ziarah ringkas dilakukan walaupun ketika ditahan mengikut seksyen 73 ISA.

Reman atau tahanan polis sementara (15 hari) berkaitan kes jenayah lain bagi tujuan siasatan lanjutan polis juga boleh dilakukan mengikut seksyen 11 Kanun Prosedur Jenayah tetapi dengan syarat tahanan itu dibenarkan oleh seorang Majistret. Salah seorang Setiausaha Anwar telah direman baru-baru ini untuk tujuan yang sama tetapi dibebaskan oleh mahkamah sebelum tempoh 15 hari luput.

Dalam tempoh tahanan mengikut seksyen 73 ISA, permohonan habeas corpus yakni permohonan supaya yang ditahan dihadapkan di Mahkamah Tinggi biasanya tidak berjaya kerana sekatan undang-undang pindaan sejak 1989 tidak membenarkan mahkamah menimbangkan hal yang berkaitan dengan alasan penahanan.

Di bawah pindaan ini, hanya butiran teknikal dalam proses penahanan itu saja yang boleh dipersoalkan. Tindakan awalan mengikut ISA bermula dengan pengamatan dan siasatan polis, yakni pihak yang dipertanggungjawabkan menjalankan tugas di bawah ISA. Tetapi sekiranya terdapat rusuhan yang pada pengamatan polis menjejaskan ketenteraman awam atau keselamatan dalam negeri maka seksyen 73 boleh digunakan serta-merta, seperti mana halnya dengan kes Anwar tempoh hari. Sebelum tempoh 60 hari itu habis, polis hendaklah mengemukakan laporan kepada Menteri Dalam Negeri yang perlu membuat keputusan sama ada orang yang ditahan itu wajar ditahan seterusnya di mana-mana pusat tahanan selama dua tahun atau kurang daripada tempoh itu; atau sebaliknya dibebaskan.

Kuasa Menteri untuk meneruskan tahanan hingga dua tahun atau sebahagian daripada tempoh itu terkandung mengikut seksyen 8(1) ISA. Sekiranya polis berpendapat bahawa individu itu perlu diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang lain maka pilihan itu biasanya disyorkan kepada Peguam Negara yang bertindak sebagai pendakwa raya.

Tahanan mengikut seksyen 73 tidak semestinya membawa kepada tahanan lanjutan di mana-mana pusat tahanan keselamatan seperti di Muar atau di Kamunting. Sekiranya individu yang ditahan mengikut seksyen 73 itu menyimpan peluru atau senjata api di kediaman atau di premis yang dikawalinya, pendakwa boleh mendakwanya sama ada di bawah seksyen 57 ISA atau Akta Senjata Api 1960. Antara kedua-dua peruntukan ini, seksyen 57 ISA lebih berat kerana jika sabit kesalahan ia boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, sebagaimana kes Teh Cheng Po pada 1977.

Ketika zaman darurat (1948-1960) ISA dinamakan Ordinan (Peraturan) Darurat 1948 yang banyak menguatkuasakan langkah pencegahan terhadap gerombolan dan anasir jahat, termasuk komunis, sama ada yang menjenayah atau yang menggugat keselamatan negara. Istilah ‘keselamatan dalam negeri’ merangkumi banyak aspek dan ciri yang dipertikaikan melalui penghujahan di mahkamah di negara kita atau di mahkamah Privy Council di Britain dulu.

Kritikan terhadap ISA selepas merdeka memang banyak terutama kerana hak membawa proses pengadilan di mahkamah didapati terhad, terutama sejak 1988 selepas dibuat dua pindaan kepada ISA yang tidak membenarkan dipersoalkan kuasa Menteri dan Yang Di-Pertuan Agong dalam mana-mana kuasa yang diberi mengikut ISA dan Akta Dadah Berbahaya.

Tujuan asas menahan seseorang di mana-mana pusat tahanan di bawah kuasa seksyen 8 ISA, seperti di Kamunting, Muar dan pusat-pusat tahanan lain diwartakan sebagai pusat tahanan atau penjara, adalah bagi memulihkan individu itu daripada terus bertindak atau berhujah menentang secara yang membahayakan ketenteraman awam atau keselamatan dalam negeri.

Ada juga tempoh dua tahun itu dipanjangkan atau dikurangkan mengikut budi bicara Menteri Dalam Negeri setelah meneliti fakta dan faktor berkaitan nisbah keselamatan yang berkaitan. Banyak fakta sesuatu penahanan itu tidak boleh diketahui umum lantaran ianya diklasifikasikan sebagai butir keselamatan negara yang hanya pihak berkuasa tertentu berhak menelitinya.

Dalam konteks inilah mahkamah dihalang daripada menimbangkan sesuatu kes mengenai penahanan seseorang kerana faktor keselamatan yang berkait dengannya dikatakan berupa rahsia negara yang jika diketahui umum akan memudaratkan. Beginilah keadaannya sejak ISA itu dikuatkuasakan pada 1960.

Kuasa yang ada pada akta itu berpunca daripada Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Parlimen membuat undang-undang keselamatan seperti itu apabila keadaan dalam negeri memerlukannya. Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan mengesahkan lagi peruntukan kaedah pengendalian tahanan yang sah di sisi undang-undang. Dalam bentuk asalnya ISA itu mempunyai tempoh kuat kuasa yang dihadkan oleh Parlimen tetapi sejak 1966 ia lebih merupakan undang-undang tetap negara.

Singapura juga mempunyai kuasa yang serupa dengan ISA. Begitu juga India walaupun negara itu sudah memansuhkan ISA versi lamanya dan menggantikannya dengan yang baru dan beberapa perubahan dibuat bagi menjamin keselamatan dalam negeri. Seperti yang diduga, kuasa eksekutif seperti yang ada mengikut ISA memang menimbulkan banyak perhatian malah bantahan sejak 60-an lagi. Profesion undang-undang terutama lebih memihak kepada keadaan dan kuasa mahkamah itu diperluas agar boleh mendengar permohonan habeas corpus atas faktor keadilan sejagat seperti hak asasi manusia. Salah satu bantahan yang kuat ialah soal terhadnya seseorang tahanan itu dapat dihadapkan ke mahkamah.

Desakan supaya ISA dimansuhkan sudah banyak dan lama didengar. Desakan yang disuarakan termasuk daripada Anwar sendiri sebelum beliau memasuki kerajaan pada 1982. Tetapi setelah menjadi orang besar dalam kerajaan, beliau tidak lagi bersuara atau berpendirian sama. Cuma bila beliau dipecat daripada jawatan kerajaan dan parti barulah kedengaran kembali suara lamanya. Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Peguam, bekas tahanan ISA dan parti pembangkang sering membangkitkan perlunya ISA itu dimansuhkan atas alasan yang tidak semestinya tidak berasas. Sama ada desakan itu hendak dipertimbangkan atau tidak, bergantung kepada persoalan berikut: Adakah mampu pihak berkuasa mengendalikan ketenteraman awam dan keselamatan dalam negeri dengan menggunakan undang-undang lain yang sedia ada?

Undang-undang lain yang berkaitan dengan ketenteraman awam dan keselamatan dalam negeri ialah Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Hasutan 1948, Akta Ketenteraman Awam 1958, Akta Polis 1967, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan beberapa akta lain. Jika pihak berkuasa mampu maka persoalan itu sudah terjawab dengan sendirinya. Jika belum, tentulah ISA akan terus dikuatkuasakan.

Dari segi premis undang-undang sejati, ISA bukan suatu akta yang bertentangan dengan Perlembagaan Negara walaupun ada yang beranggapan sedemikian. Akta itu hanya bertentangan dengan bab tertentu hak asasi manusia seperti nasabah “seseorang yang ditangkap atau ditahan hendaklah dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh 24 jam” (peruntukan ini sebenarnya terdapat pada Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan dalam bentuk yang bersyarat).

ISA adalah sah untuk diterima pakai mengikut Perlembagaan negara, terutama di bawah Perkara 149 dan 151 walaupun ada sarjana undang-undang yang berpendapat peruntukan hak asasi di bawah Perkara 5 harus diberi keutamaan dulu.

Jika ISA dicadangkan untuk dimansuhkan pada satu hari nanti, peruntukannya tidak menghalangnya. Persoalan pokok sama ada ISA hendak di mansuh atau dipinda seperti versi tahun 1966 bergantung penuh kepada penilaian dan faktor keselamatan yang ada pada sesuatu masa. Walaupun kerajaan bertanggungjawab atas semua persoalan bersangkutan ISA itu, penentuan yang muktamad nanti ialah rakyat sendiri.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: