September 8, 2009 pada 9:00 am (Uncategorized)
Tags: kepala lembu, peguam negara
Salut kepada Peguam Negara kerana akhirnya bertindak untuk mendakwa para demonstran yang membawa kepala lembu di bawah Akta Hasutan. Sememangnya perkara ini dibiarkan akan menimbulkan masalah integriti yang serius. Persepsi masyarakat kepada integriti kerajaan akan bertambah buruk kerana konsistensi dalam “enforcement” undang-undang amat perlu dipatuhi.
Kita tidak mahu selepas ini ada kaum lain yang menghina Islam dan kerajaan serba salah pula untuk mengambil tindakan. Berita lanjut sila klik di bawah.
Peguam Negara akan Dakwa
Tinggalkan Komen
September 6, 2009 pada 10:22 pm (Uncategorized)
Pernahkah kita bertanya apakah erti kemerdekaan sebenar, bagi saya kemerdekaan yang sebenar ialah rakyat bebas melakukan segala aktiviti di negara sendiri dan mempunyai taraf kehidupan yang sempurna. Ya sempura, tak perlu mewah tetapi sempurna. Perkara asas untuk keperluan seorang rakyat dapat disediakan oleh kerajaan. Air, elektrik dan jalanraya yang bersesuaian dan tidak membebankan. Akses kepada pendidikan di semua peringkat, terutama pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah. Sebenarnya sebuah negara yang merdeka ialah negara yang boleh memenuhi keperluan masyarakat secara minimum seperti yang digariskan di dalam Triti Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yakni International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights. Jika ada masa cubalah wiki triti tersebut dan saya amat bercita cita tinggi supaya secara minimum Malaysia mampu mencapai apa yang digariskan di dalam triti tersebut. Bagi saya negara merdeka seharusnya mencapai standard standard yang digariskan di dalam triti tersebut.
Cuba kita amat amati sejauh manakah negara kita mencapai apa yang digariskan di dalam triti tersebut.
Tinggalkan Komen
Disember 14, 2008 pada 2:15 pm (Uncategorized)
Saya dan isteri menjemput rakan-rakan yang mengenali diri saya ke majlis bacaan yassin dan tahlil ke kediaman kami seperti butiran berikut:
Tarikh: 3 Januari 2009
Masa: 2.00 p.m.
Alamat : NO.33 Jalan P11B1/6, Presint 11
Putrajaya
Sila maklumkan kepada kami melalui komen bagi post ini sebagai persediaan.
Terima Kasih.
Tinggalkan Komen
November 23, 2008 pada 10:22 pm (Uncategorized)
Malam ini terdetik hati saya untuk mencoret sesuatu tentang perkara pokok mengenai hak asasi manusia. Saya tidak pasti samaada semua orang bersetuju bahawa hak asasi manusia itu terbatas! Perlembagaan Negara membataskan hak asasi manusia atas premis keselamatan negara, moral dan kesihatan awam.Cuba selah Artikel 5-13 Perlembagaan Negara. Bercambah hak yang diberi tetapi kemudiannya dibatasi oleh asbab-asbab di atas. Islam juga bersetuju dan cocok dengan perkara pokok di atas, hak asasi manusia itu terbatas. Dalam Islam ada hak asasi manusia berlandaskan penyelarasan antara hak asasi individu dan hak asasi masyarakat terbanyak. Perlu diimbangkan. Kerja imbang mengimbang bukan mudah, perlu kebijaksanaan atau “wisdom” dalam bahasa inggeris. Itu sebab jika ada tindakan kerajaan yang kontroversi sebagai contoh penggunaan ISA ia menjadi bahan perdebatan kerana ada pihak mengatakannya tidak wajar. Ada pihak mendakwa ISA wajar memandangkan keadaaan dan suasana semasa yang boleh merebak menjadi tidak terkawal. Ini semua memerlukan “wisdom”. Bagaimana datangnya wisdom? Sudah tentu melalui ilmu dan pengalaman. Ingat melalui ilmu ! bukan maklumat. Ada bedanya antara ilmu dan maklumat. Maklumat yang banyak belum tentu anda berilmu.
Al-Quran telah menjelaskan tiada hak asasi yang bebas sebebasnya seperti wau yang tidak bertali. Jika tidak manakan ada ayat 35-36 yang bemaksud:
“Dan Kami telah berfirman: “Wahai Adam tinggallah engkau bersama isteri engkau dalam Syurga dan makanlah kamu berdua dari buah-buahan dengan mewah di mana sahaja kamu berdua sukai, tetapi janganlah kamu hampiri pokok ini nanti akibatnya kamu berdua termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”
Sengaja saya hitamkan perkataan-perkataan penting diatas. LIhat Allah berfirman kepada Adam dan Hawa untuk menikmati apa sahaja yang Allah kurniakan di SYURGA. Masyaallah syurga sekian banyak nikmat yang tidak dapat difikir oleh kotak fikiran manusia. Tetapi ajaib ya kerana fikir saya sudah tentu tiada halangan untuk melakukan apa yang mereka suka di dalam Syurga, bersuka ria dan menikmati apa yang terhidang di depan mata tiba-tiba sahaja Allah melarang mereka untuk memakan buah khuldi. Mengapa ya? Mungkin pohon khuldi ini melambangkan larangan-larangan (restrictions) yang pasti diadakan di dalam kehidupan mereka di bumi nanti, kerana tanpa larangan , kemahuan seseorang tidak akan tumbuh, dan manusia yang mempunyai kemahuan itu tidak tidak dapat dibezakan dari makhluk haiwan yang tidak mempunyai kemahuan , dan tanpa larangan-larangan kegigihan seseorang di dalam mematuhi janji dan syarat tidak dapat diuji. Oleh itu kemahuan dan hak hak yang tidak terbatas adalah dari alam haiwan walaupun mereka berupa manusia.
1 Komen
Ogos 30, 2008 pada 10:19 am (Uncategorized)
Saya telah mengamati sepintas lalu pembentangan bajet Pak Lah dan respon saya seperti berikut:
a) Bajet yang menumpukan kepada kumpulan sasaran iaitu rakyat miskin tegar dan kumpulan pertengahan yakni mereka yang berpendapatan RM35,000 setahun ke bawah.
b) Tidak dinamik kepada masyarakat pedagang dan korporat kerana cukai korporat masih tinggi iaitu 25% antara yang tertinggi di asia tenggara.
c) Insentif yang kurang dalam menarik pelaburan asing (FDI) yang menyebabkan banyak pelaburan terbantut, walaubagaimanapun kewangan islam masih mendapat tempat istimewa dalam bajet kali ini.
d) Akhirnya para pekerja swasta yang selama ini dikesampingkan dari bajet mendapat manfaat tersirat melalui elaun perjalanan dari rumah ke tempat kerja bergantung kepada usaha proaktif majikan masing-masing.
e) Agak mengecewakan permintaan kepada gaji minimum masih tidak dapat dipenuhi RM900-RM1200.
f) Ya agak mengembirakan OKU diberi perhatian serius oleh Kerajaan Barisan Nasional.
g) Sektor pengangkutan awam mendapat peratusan kek bajet yang besar dalam jangka masa panjang , memang sudah tiba masanya pengangkutan awam mendapat perhatian sewajarnya. Persoalannya kemanakah bajet yang disimpan selepas subsidi dikurangkan tempoh hari?
h) Penggunaan kereta diesel mendapat cukai jalan yang sama dengan pengguna kereta berpetrol, secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada petrol, tetapi kerajaan perlu mengurangkan cukai jalan secara keseluruhannya.
i) Dalam prinsip “hadhari” alam sekitar adalah antara elemen penting, walaubagaiamanpun saya tidak mendengar suatu inisiatif pun dalam hal ini.
3 komen
Jun 7, 2008 pada 8:52 pm (Hiburan, Uncategorized)

Saya turut pening memikirkan masalah harga minyak yang cukup tinggi…tau tau sajalah jika harga minyak naik akan ada barang-barang keperluan lain yang akan turut “meletup”. Berapa pula harga roti canai dan teh tarik selepas ini? Kadang-kadang saya terfikir ada “minyak” ke dalam roti canai tu. Tak pa jangan risau kerna , kerajaan kita ni berhemah sentiasa memikirkan nasib rakyat dan segala beban kerajaan ini cukup bijak “berkongsi” beban ini dengan rakyat.
Jgn fikirkan sangat mari kita hiburkan diri. Sekarang malam-malam minggu agak ceria sedikit kerana rancangan terbaru “Jangan Lupa Lirik” yang disiarkan di Astro Ria setiap malam Sabtu dan Ahad. Kalau dulu saya dan isteri akan berteleku di depan kaca tv menonton Akademi Fantasia (walaupun agak hambar kerana pengacaranya kurang meriah) tetapi malam minggu kami lebih ceria dengan rancangan baru Jangan Lupa Lirik dengan pengacara yang hebat Aznil Nawawi. Semua rancangan akan menjadi hebat jika Aznil menjadi pengacaranya. Jika diamat-amati bukan mudah untuk mengacarakan sebuah rancangan tv jika mereka tidak “versatile”. Aznil ialah seorang pengacara yang “versatile”, keletahnya menghiburkan. Penggunaan patah perkataan, ungkapan dan gaya bahasa membayangkan Aznil seorang pengacara yang berilmu dan membaca. Pengamatannya terhadap konsep acara tv dan interaksi dengan peserta mempesonakan.
Tahniah kepada Aznil Nawawi kerana berjaya sebagai pengacara TV yang “versatile”. Dari Rancangan untuk kanak-kanak (Tom Tom Bak), Remaja (Akademi Fantasia) dan Seni Suara (Jangan Lupa Lirik dan Pop Kuiz ) menyerlahkan beliau sebagai seorang yang “versatile” serba boleh. Tidak hanya beliau berada di dalam kelompok suasana tertentu tetapi mampu merentasi kepada ruang-ruang baru dalam bidangnya.
p/s: saya suka kepada “versatility”
8 komen
Mei 22, 2008 pada 9:58 pm (Uncategorized)

Maka betullah bahawa politik ialah seni serba mungkin. Mana mungkin bahawa suatu hari nanti Ezam yang gaya pidatonya mirip mantan boss beliau Anwar Ibrahim akan kembali kepada UMNO. Arakian, dikhabarkan berita ini akan diterangkan oleh beliau setibanya beliau di Kuala Lumpur minggu hadapan. Beliau sekarang berada di London. Jika benar telahan media bahawa beliau akan kembali kepada UMNO , parti yang paling beliau kritik sejak 10 tahun lepas, maka saya akan terus sahaja membuat kesimpulan seperti berikut:
1) Dalam politik kuasa adalah segala-segalanya. Rakan hanya menjadi rakan apabila diperlukan, untuk kuasa rakan boleh menjadi musuh;
2) Ezam bagi ahli UMNO akan dianggap sebagai talam dua muka kerana tergamak menghunus keris menikam rakannya kembali;
3) Ezam bagi rakan-rakannya di dalam KeADILan akan dianggap sebagai “traitor” kepada perjuangan yang didokonginya selama ini;
4) Mengambil kira risiko di atas, Ezam hanya akan masuk UMNO jika ditawarkan jawatan tinggi dalam kerajaan , saya fikir paling kurang pun mestilah Timbalan Menteri;
5) Sudah tentu sebagai balasan kepada perkara di atas , UMNO menuntut Ezam mendedahkan berapa kotak mancis yang beliau ada bagi mendedahkan segala kelemahan Parti Keadilan Rakyat atau lebih tepat mantan boss beliau Anwar Ibrahim;[ingat lagi tentang beberapa kotak dokumen dahulu]
6) Tamatnya panggilan “wira” dan “pemimpin wibawa” dan “pejuang rakyat” yang sentiasa menjadi miliknya sebelum ini.
Episod ini mendedahkan kepada kita akan beberapa watak desperado dalam kancah politik negara. Biarkah masa, keadaan menentukan episod politik seterusnya…
3 komen
Mei 15, 2008 pada 8:27 pm (Sosial, Uncategorized)
Hari ini adalah hari terakhir aku di tanah Barat Afrika , Mauritania. Selepas berada di sini lebih kurang 7 hari, malam ini aku akan berangkat pulang. Tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke kabin kapal terbang , mengambil naskhah surat khabar Melayu dan memesan teh tarik lalu lentok di atas kerusi boleh baring terbaru disediakan MAS sambil menonton filem Perancis. Ini adalah permainan minda ku sebelum aku pulang malam ini. Oh ya mana tiket ya… hah ini dia sudah ku minta bantuan staff disini membantu aku memeriksa sekali lagi dokumen perjalanan supaya tidak keruan di lapangan terbang Noukchott nanti.
Walau apa pun, Mauritania ialah negara yang eksotik , bentuk muka buminya diselaputi pasir-pasir halus bergurun dan cuacanya yang kering. Aku mungkin menganggap ini adalah lawatan terakhir ku kesini tetapi beberapa orang rakan tempatan di sini mendoakan supaya ini bukanlah lawatan yang terakhir maka aku pasrah sahaja. Mungkin juga, ya mana tahu aku mungkin ke sini sekali lagi dengan wadah yang lain pula.
Mauritania walaupun dianggap sebagai “least developed country” tetapi negara ini semakin membangun dengan syarat kerajaannya sedikit bijak dan tahu mengurus ekonomi negara. Acapkali aku terlihat dan terdengar negara-negara Afrika begitu mudah memohon bantuan luar terutama dari orang kulit putih bagi merangka pelbagai program negara sehinggalah kepada menggubal undang-undang tertentu. Maklumlah kepakaran dari negara maju tidak semestinya bersesuaian dengan suasana dan kehendak negara dan munkin rangka kerja itu bukan sahaja tidak bersesuaian malah merugikan negara. Ini adalah contoh di mana Mauritania masih tidak dapat selidiki. Pemimpinnya masih tidak arif tentang keperluan masyarakat dan tadbir urus yang baik. Natijahnya, dilihat di tepi-tepi jalan penuh dengan pengemis entah dari mana dan keadaan umat Islam yang dihimpit kemiskinan. Oh umatku! Apa hendak jadi…tidak hairan jika ada orang berpandangan Islam ini jumud dan menggalakkan umatnya hidup dalam kemiskinan.
Aku mengambil kesempatan untuk juga sembang bual dengan rakyat tempatan dan terkejut apabila daya fikir mereka tidak kurang hebatnya malah lebih baik dari sesetengan rakyat Malaysia yang ku jumpa. Walaupun kemudahan di sini bolehlah dikatakan kelas ketiga tetapi pemikiran rakyatnya amat baik, bersopan santun dan rajin bekerja. Mereka bersemangat untuk membebaskan negara mereka dari lembah kemiskinan dan kehinaan, cuma mereka masih merangkak.
Ya Mauritania membuka paradigma aku tentang dunia. Tanah Afrika mengajar aku seribu satu pengajaran. Rasa syukur di Malaysia…walaupun ada perkara tertentu yang masih boleh diperbaiki. Moga Allah membantu melimpahi rahmatnya disini…moga mereka boleh bangkit dari kemiskinan!
1 Komen
Mei 7, 2008 pada 9:03 pm (Sosial, Uncategorized)
Fokus:
Mahkamah Sains: Realiti atau Fantasi?
Oleh Sabri Mohamad Sharif
Artikel fokus lain:
-Jenayah Siber: Kebebasan Tanpa Tanggungjawab? oleh Mohd Jamizal Zainol
Artikel lain yang menarik:
-Madu Membunuh Bakteria oleh Muhammad Abhar Rosnan
-Bersin Bawa Rahmat atau Laknat? oleh Nik Khartina Nik Man
-Sains di Sebalik Emosi oleh Saharil Hasrin Sanin
-Sindrom Keletihan Kronik oleh Dr. Danial Zainal Abidin
Saya ada menulis untuk Dewan Kosmik bagi bulan Mei sila dapatkan Dewan Kosmik untuk bacaan lanjut.
Tinggalkan Komen
April 13, 2008 pada 4:46 pm (Politik, Undang-Undang)
Tags: Islam, Ketuanan, Melayu, Perlembagaan
Saya agak gelihati melihat gelagat beberapa orang tokoh melayu yang berdegang-degang menyuarakan ketuanan Melayu. Selepas rakyat bersuara melalui peti undi tempoh hari tanpa mengira kaum dan agama, beberapa kelompok yang kononnya cintakan ketuanan Melayu mengadakan rapat dan pertemuan itu dan ini bagi membincangkan masalah Melayu. Bagi mereka melayu sudah terpinggir kerana gasirnya kerusi Barisan Nasional di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri. Bagi mereka ketuanan Melayu diukur melalui berapa banyak kerusi yang pemimpin Melayu pegang di Parlimen mahupun DUN.
Sebenarnya, paradigma itu silap dan terpesong. Ketuanan Melayu bermaksud kembali mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan perlu direkayasa dan diletakkan di tempat yang sewajarnya. Merekayasa Perlembagaan bermakna mendaulat Islam sebagai agama persekutuan, mempertahankan hak-hak istimewa “bumiputera”, kebebasan suruhanjaya SPR dan Kehakiman dan menghormati hak asasi manusia dan institusi diraja.
Pakatan Rakyat di dalam manifesto mereka mewar-war perlunya rakyat mendaulatkan balik Perlembagaan. Setelah 50 tahun beberapa pencabulan Perlembagaan telah pun dilihat secara jelas antara lain:
a) Krisis kehakiman 1988 di mana Ketua Hakim Negara telah dipecat kerana tiadanya persefahaman dengan Eksekutif;
b) Krisis keyakinan rakyat terhadap kebebasan SPR bagi memandu pilihanraya negara ini dengan masih wujudnya beberapa perkara yang menimbulkan perbahasan seperti keperluan undi pos;
c) tiada lagi bantuan pelajaran biasiswa kepada Bumiputera ke pelajaran tinggi, kini semua hanyalah pinjaman seperti PTPTN di mana pelajar telah diajar berhutang sebaik sahaja mereka selesai pengajian;
d) Tanah rizab melayu sudah terhakis memandangkan kerajaan negeri terdahulu sudah mula menukar tanah-tanah rizab kepada tauke-tauke bagi pembangunan yang sedikit nikmatnya pada orang melayu;
e) terhakisnya kedaulatan agama Islam, ingat lagi kes the Zouq di mana pegawai agama di persalahkan kerana mengadakan pemeriksaan keatas pusat hiburan dan mendakwa umat Islam yang mabuk yang diperuntukkan dibawah Enakmen Undang-undang Islam; dan
f) Bagaimana konflik di antara pemerintah dengan Istana di dalam kes perlantikan MB di Perlis dan Terengganu melambangkan terhakisnya hormat terhadap institusi diraja.
Nota-nota di atas ialah sekian banyak pencabulan Perlembagaan yang dilakukan dan lantaran itu ketuanan Melayu semakin disanggah. Disarankan kumpulan-kumpulan cinta Melayu ini memikirkan perkara pokok yang lebih penting daripada mengadakan rapat-rapat dan perkompolan yang mendedangkan slogan semangat-semangatan yang tiada langsung faedahnya pada orang Melayu!.
Tinggalkan Komen