Mencari Guru Murshid

Selamat Hari Guru kepada semua guru, tenaga pengajar yang tanpa penat dan lelah menyampaikan ilmu mereka padaku. Sampaikanlah walau sebutir ayat! Itulah sabda Rasulullah S.A.W dalam memastikan segala apa yang disabdakan melalui katanya, perbuatannya dan taqrirnya disampaikan oleh umat ini bagi memastikan umat Islam sentiasa dirahmati Allah.

Peri pentingnya kita berguru dengan guru yang “murshid”. Guru yang murshid menurut Imam Ghazali ialah guru yang mampu menyuluh cahayanya membantu memberi petunjuk kepada kita melalui lorong-lorong gelap dan sempit dalam kehidupan manusia. Guru murshid bukan hanya menyampai ayat-ayat keramat bagi memandu penghidupan tetapi juga menjadi unsur inspirasi. Ketakwaannya kepada Allah mampu membantu kita mempertingkatkan tingkatan nafsu dari mungkin “amarah bi suk” kepada “lawwamah” atau dari “lawwamah” kepada nafsu yang dijanjikan syurga oleh Allah S.W.T yakni nafsu “mudmainnah”.

Maka mencari guru yang murshid adalah dituntut, alangkah rugi dalam sisa-sisa kehidupan ini kita gagal mencari guru yang murshid bagi membimbing kita.

Selamat Hari Guru!

Mauritania Ada Mutiara di Sebalik Pasir

Hari ini adalah hari terakhir aku di tanah Barat Afrika , Mauritania. Selepas berada di sini lebih kurang 7 hari, malam ini aku akan berangkat pulang. Tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke kabin kapal terbang , mengambil naskhah surat khabar Melayu dan memesan teh tarik lalu lentok di atas kerusi boleh baring terbaru disediakan MAS sambil menonton filem Perancis. Ini adalah permainan minda ku sebelum aku pulang malam ini. Oh ya mana tiket ya… hah ini dia sudah ku minta bantuan staff disini membantu aku memeriksa sekali lagi dokumen perjalanan supaya tidak keruan di lapangan terbang Noukchott nanti.

Walau apa pun, Mauritania ialah negara yang eksotik , bentuk muka buminya diselaputi pasir-pasir halus bergurun dan cuacanya yang kering. Aku mungkin menganggap ini adalah lawatan terakhir ku kesini tetapi beberapa orang rakan tempatan di sini mendoakan supaya ini bukanlah lawatan yang terakhir maka aku pasrah sahaja. Mungkin juga, ya mana tahu aku mungkin ke sini sekali lagi dengan wadah yang lain pula.

Mauritania walaupun dianggap sebagai “least developed country” tetapi negara ini semakin membangun dengan syarat kerajaannya sedikit bijak dan tahu mengurus ekonomi negara. Acapkali aku terlihat dan terdengar negara-negara Afrika begitu mudah memohon bantuan luar terutama dari orang kulit putih bagi merangka pelbagai program negara sehinggalah kepada menggubal undang-undang tertentu. Maklumlah kepakaran dari negara maju tidak semestinya bersesuaian dengan suasana dan kehendak negara dan munkin rangka kerja itu bukan sahaja tidak bersesuaian malah merugikan negara. Ini adalah contoh di mana Mauritania masih tidak dapat selidiki. Pemimpinnya masih tidak arif tentang keperluan masyarakat dan tadbir urus yang baik. Natijahnya, dilihat di tepi-tepi jalan penuh dengan pengemis entah dari mana dan keadaan umat Islam yang dihimpit kemiskinan. Oh umatku! Apa hendak jadi…tidak hairan jika ada orang berpandangan Islam ini jumud dan menggalakkan umatnya hidup dalam kemiskinan.

Aku mengambil kesempatan untuk juga sembang bual dengan rakyat tempatan dan terkejut apabila daya fikir mereka tidak kurang hebatnya malah lebih baik dari sesetengan rakyat Malaysia yang ku jumpa. Walaupun kemudahan di sini bolehlah dikatakan kelas ketiga tetapi pemikiran rakyatnya amat baik, bersopan santun dan rajin bekerja. Mereka bersemangat untuk membebaskan negara mereka dari lembah kemiskinan dan kehinaan, cuma mereka masih merangkak.

Ya Mauritania membuka paradigma aku tentang dunia. Tanah Afrika mengajar aku seribu satu pengajaran. Rasa syukur di Malaysia…walaupun ada perkara tertentu yang masih boleh diperbaiki. Moga Allah membantu melimpahi rahmatnya disini…moga mereka boleh bangkit dari kemiskinan!

Perlu Faham Isu

Hasutan

Sudah lama saya tidak berblog , kerana tuntutan tugas. Mutakhir banyak sekali isu-isu yang terpampang di dada akhbar dan yang paling panas berkenaan isu Karpal Singh yang dikatakan “menderhaka” terhadap Sultan Perak kerana menyatakan Tuanku tidak mempunyai kuasa di dalam urusan perlantikan semula pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Kalau tidak silap saya beliau menyatakan “pada pandangan saya…”. Bagi saya itu adalah pandangan beliau dan tidak pula berbentuk hasutan. Bagi saya hasutan terjadi apabila seseorang itu mempengaruhi pemikiran orang ramai sama ada dalam bentuk tulisan , ucapan bagi mempertikaikan beberapa perkara pokok yang sudah termaktub dalam Perlembagaan antaranya:

a) Kedaulatan raja-raja Melayu;

b) Kedudukan istimewa orang Melayu;

c) agama Islam sebagai Agama Persekutuan; dan

d) Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Kenyataan Karpal ialah pandangan peribadi beliau mengenai konsep Raja Berpelembagaan yang difahaminya dan tidaklah sampai mempertikaikan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Walauapapun buat YB Karpal , jika perlu tidak perlulah bersuara berkenaan perkara-perkara “kelabu” seperti ini kerana sebab mulut badan binasa.

Pakatan Rakyat Memerintah Malaysia?

Ini satu lagi isu yang agak hangat dibincangkan akhir-akhir ini, berkenaan betapa yakinnya Datuk Seri Anwar untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dalam masa terdekat. Khabarnya 17 ahli dewan rakyat Barisan Nasional akan pindah parti hari Rabu ini. Entah benar atau tidak kita tunggu sahaja episod seterusnya. Bagi saya terpulanglah untuk ahli dewan rakyat untuk memilih parti mana yang mereka inginkan kerana ini adalah hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan hak berpersatuan (freedom of association) cuma tidaklah adil kerana rakyat sudah memilih mereka sewaktu mereka mewakili parti-parti tertentu. Mungkin ada baiknya undang-undang anti lompat parti yang akan digubal ini tidak menghalang mereka berbuat demikian tetapi pilihanraya semula hendaklah diadakan. Barulah adil kepada rakyat memilih untuk membuat keputusan semula.

Piala Thomas

Agak gembira walaupun berada di perantauan sekarang ini Malaysia berjaya menumpaskan England 5-0 dan pasukan piala Uber juga tidak kurang hebatnya dan menang penuh bergaya semalam. Saya hanya pulang ke Malaysia pada 16hb nanti dan khabarnya waktu itu sudah berlangsungnya pusingan separuh akhir. Harapan untuk melihat Malaysia ke akhir paling kurang …jika benar hari minggu saya pada minggu hadapan mungkin di hadapan kaca tv bagi menyokong pasukan kesayangan.

Dewan Kosmik Bulan Mei

 

Dewan Kosmik Mei 2008

 

Fokus:
Mahkamah Sains: Realiti atau Fantasi?
Oleh Sabri Mohamad Sharif


Artikel fokus lain:
-Jenayah Siber: Kebebasan Tanpa Tanggungjawab? oleh Mohd Jamizal Zainol

Artikel lain yang menarik:

-Madu Membunuh Bakteria oleh Muhammad Abhar Rosnan

-Bersin Bawa Rahmat atau Laknat? oleh Nik Khartina Nik Man
-
Sains di Sebalik Emosi
oleh Saharil Hasrin Sanin
-
Sindrom Keletihan Kronik
oleh Dr. Danial Zainal Abidin
Saya ada menulis untuk Dewan Kosmik bagi bulan Mei sila dapatkan Dewan Kosmik untuk bacaan lanjut.

 

 

 

 

Sufiah: Adakah ini Kebebasan Mutlak?

Dari kecil lagi Sufiah telah hidup di dalam suatu sistem kehidupan berstruktur (“regimented”) yang disusun oleh ayahandanya bagi tujuan dan kecapaian akademik. Natijah dari kehidupan “ala sparta” ini terbukti apabila beliau berjaya memasuki institusi tersohor Oxford pada usia 13 tahun. Hidupnya dengan satu tujuan , nombor, kegemilangan dan dunia akademia. Tiadanya rona-rona  kehidupan biasa yang sepatut dan sewajarnya dikecapi oleh anak remaja yang seusia dan sebaya, sebaliknya Sufiah telah dinafi “fitrah” beliau sebagai anak remaja untuk dikasihi dan disayangi tanpa dibebankan dengan sesuatu yang berat dan sukar untuk digulatinya hanya kerana nafsu kegemilangan seorang bapa.

Akhirnya pada usia ke-23 yakni 10 tahun selepas kehidupan penuk struktural ini beliau akhirmya memberontak dan rasa ingin bebas menakluk diri. Sedikit demi sedikit pengisian hidupnya dengan agama, nombor dan cara hidup “timur” telah dianggap olehnya sebagai suatu peraturan berat yang menyiksakan batin. Beliau keliru kerana hasil dari tekanan seorang bapa yang ingin melihat anak memnjadi “luar biasa” rupa-rupanya telah mendera emosi dan pemikiran Sufiah.

Sufiah sedar peraturan dan tatacara yang dihadapkan kepadanya selama  ini tidak dianggap Sufiah sebagai dirinya tetapi dianggap sebagai penyiksaan batin yang perlu disesalkan. Pada umurnya yang ke-23 Sufiah telah “membebaskan” dirinya dari segala peraturan dan tatacara yang membungkam hidupnya selama ini. Sufiah telah menzahirkan kebebasan ini dengan melakukan sesuatu yang dianggap masyarakat sebagai jijik. Sufiah sekarang ini benar-benar “bebas”…hatta bebas melakukan apa sahaja tanpa perlu dihimpit dengan batas-batas peraturan atau moral. Biarlah Sufiah menikmati kebebasan ini dahulu , lakukanlah apa yang Sufiah hendak lakukan, biarlah Sufiah mengekspresikan dirinya…suatu hari nanti  selepas Sufiah sudah merasa nanar dengan “kebebasan” ini, Sufiah akan kembali sedar kerana saya yakin asas dan akar Sufiah masih kukuh, insyallah Sufiah akan kembali.

Perpecahan Umat Islam

 Go to fullsize image

Diakhir zaman nanti umatku akan berpecah menjadi 73 golongan dan satu golongan sahaja yang benar” petikan hadis dari Rasullulah S.A.W secara jelas memberitahu umat akhir zaman ini bahawa perpecahan tidak dapat dielakkan. Keadaan yang mencabar mutakhir ini menuntut supaya umat Islam mengurus perpecahan dalaman ini jangan sampai memberikan cerminan buruk Islam kepada orang bukan Islam.  Pernah suatu ketika dahulu kita dihadapkan dengan persoalan-persoalan filasuf yang berat untuk dihadamkan terutama oleh umat Islam sendiri apatah lagi orang bukan Islam. Persoalan nazrah Islam terhadap undang-undang dan moral, demokrasi, hak asasi manusia, hubungan dengan orang bukan Islam, jihad dan terrorisme ialah antara butir-butir persoalan yang menghambat umat Islam untuk menghuraikannya oleh para cerdik pandai dan cendekiawan Islam. Persoalan-persoalan ini jika tidak dipecah dan dicanai maka ianya akan menjadi kayu ukuran tentang relevannya Islam dengan dunia sekarang. Jika adapun cendekiawan Islam yang cuba menggugah untuk menghuraikan persoalan tersebut maka akan ada pula kumpulan lain yang tidak senada dan sependapat dan mencemuh pihak yang satu lagi. 

Tiadanya wehdatul fikr inilah yang memberikan cerminan buruk orang bukan Islam terhadap Islam. Saya rasa perlu kita bersatu hati dalam perkara perkara yang saya nyatakan di atas. Jgn ada pula kelompok salafi mengatakan apa yang diamalkan haram, dan ada umat Islam yang mengatakan salafi sesat dan memecahbelahkan umat. Perkara-perkara ranting jgn diperbesarkan kerna masih banyak lagi persoalan besar yang harus umat Islam selesaikan.

Jika persoalan di atas kita masih buntu dan tidak dapat dipecahkan maka percayalah wajah buruk Umat Islam akan sentiasa berkekalan. Mari bersatu hati dan menyatukan pemikiran dan usaha bagi memberikan imej Islam yang cerlang. 

Turki Negara Dua Wajah

Seperti yang dijanjikan saya igin membuat beberapa kesimpulan terhadap buku yang saya tatapi sekarang “Turki Negara Dua Wajah” karya Dr. Abdullah Azam. Buku ini jika diteliti tidaklah membahaskan sejarah Turki seperti yang saya sangkakan tetapi banyak tertumpu kepada perbincangan mengenai pengkhianatan Mustafa Kamal At tartuk terhadap dunia Islam.

Buku ini memberi contoh perkara-perkara yang dilakukan oleh beliau dalam membuang Islam dari hati-hati umat Islam Turki. Antaranya:

a) melarang poligami dan memutuskan persamaan antara pria dan wanita dalam semua hak dan kewajipannya, membangun sekolah kejuruan bagi pemuda dan pemudi, membangunkan sekolah yang mengajarkan tarian timur dan tarian barat, melarang hijab, mengeluarkan wanita dari rumah untuk memegang jabatan kerajaan, membangun teater dan mendorong rakyatnya untuk mengadakan pesta tarian;

b) Mengubah dua masjid agung iaitu Aya Sofiya dan Masjid Al-Fatih menjadi museum;

c) Membangun lading contoh untuk memelihara lembu dan babi. Adapun maksudnya menentang semua nilai Islam yang luhur.

d) Mendirikan patungnya di setiap tempat.

e) Memaksa kaum muslimin menyerukan azan dengan bahasa Turki dan memaksa mereka membaca Al-Quran dengan bahasa Turki bukan dengan bahasa Arab. Pernah suatu ketika dia mendengar azan subuh dari masjid berdekatan dengan istananya, maka dia memerintahkan supaya tempat azan tersebut dirobohkan;

f) Memasukkan calendar barat untuk menggantikan calendar hijriyah;

g) Menghapus sambutan hari raya adiladha dan aidilfitri;

h) Menetapkan hari Ahad sebagai hari cuti mingguan sebagai ganti hari Jumaat; dan

i) Melarang kaum muslimin Turki mengerjakan ibadah haji dan melarang kaum wanitanya memakai hijab.

Jika dilihat dari perkara-perkara yang diutarakan di atas , maka saya melihat At Tartuk cuba membawa suatu revolusi kebudayaan dan pemikiran untuk mencabut akar Islam itu dari rakyat Turki yang telah gemilang 600 tahun sebagai Empayar Islam. Teringat saya kepada revolusi kebudayaan Rusia yang dilakukan oleh Parti Bolshevik sehinga wujudnya pemikiran Komunisme.

Raja Nazrin, Sehati Berdansa dan Buku Baru

Raja Nazrin

Pandangan Raja Nazrin mengenai hak berhimpun dan bersuara di akhbar NST menarik untuk kita tatapi. Pandangan ini ialah kesinambungan daripada wawancara yang dilakukan oleh NST dengan Tun Musa Hitam mengenai mauduk yang sama. Secara kesimpulannya kedua-dua tokoh ini berpandangan seperti berikut:

1) Hak berhimpun dan ekspresi adalah hak yang dijamin di bawah perlembagaan dan di dalam negara yang demokratik seperti Malaysia;

2) Hak tersebut hendaklah di laksanakan dengan mengikut lunas undang-undang;

3) Tiada kebebasan mutlak (no absolute freedom);

4) Kerajaan bertanggungjawab mengimbangi di antara kebebasan individu dan keselamatan awam;

5) Kerajaan tidak boleh melarang sama sekali hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara; dan

6) Permit dan tempat yang sesuai untuk berhimpun perlu diberikan oleh pihak berkuasa.

Sehati Berdansa

Saya jarang menonton Tv tetapi semalam saya terpaut dengan rancangan sehati berdansa. Suatu rancangan realiti terbaru yang memaparkan pasanagan suami isteri menguji kehebatan mereka dalam seni tari. Semalam agak gawat apabila ramai peserta tidak memahami konsep tarial fokltroat suatu tarian inggeris yang perlu ditari bersama pasangan dengan rhythm slow,slow, quick, quick, quick. Paling tertarik apabila ada pasangan yang dikritik oleh juri kerana tidak membawa konsep tarian folktroat ala ballroom. Kareografer berkenaan membalas bahawa tarian kareografinya berdasarkan folktroat komersial, bijak sungguh bijak! Rancangan kali ini menarik kerana kehebatan terletak kepada kareografernnya untuk membuat kajian mendalam tentang tugasan yang diberikan. Bayangkan berdasarkan kepada persediaan, kajian dan pengalaman para kareografer ini kita dapat melihat bagaimana mereka menginterpretasikan sesuatu tugasan berdasarkan keilmuwan dan kajian mereka.

Walauapa pun pasangan Vee dan Shidi menjadi tumpuan saya go Vee!

Buku Baru

Saya sedang menghabiskan buku terbaru terbitan Alam Raya karya Dr Abdullah Azam Turki Negara Dua Wajah. Kulit muka berwarna merah menyala ini dengan harga RM15 adalah berbaloi jika kita ingin menyingkap kembali sejarah bagaimana Kamal At tartuk menukar wajah Turki dari Islam ke Sekularisme. kaedah yang digunakan ialah “kemalisme”. Jika ada kesempatan akan saya nukilkan sedikit beberapa coretan penting yang saya kutip dari buku ini. Ah! sebelum terlupa buku ini ada memaparkan beberapa gambar menarik mengenai Mustafa Kamal AtTartuk dari pelbagai perspektif.

Selamat Membaca! Buku ini sudah boleh didapati dari toko-toko buku utama. Saya dapat buku ini di MPH Putarajaya.

Tony Fernandis: Tabik!

Pagi tadi semasa sampai sahaja di pejabat , perkara pertama saya lakukan adalah membelek suratkhabar NSTP kerana ingin mengetahui tentang berita lanjut berkenaan demonstrasi di depan Parlimen semalam. Macam biasa demo-demo seperti ini akan berakhir dengan penangkapan dan sedikit pergelutan berlaku di luar pintu Parlimen. Sosek sosek mengatakan ada 6 orang berjaya loloskan diri juga di ruang lobi parlimen untuk sampaikan memorandum membantah pindaan perlembagaan persekutuan.

Walaupun begitu yang paling menarik hati saya ialah temuramah NST dengan CEO AirAsia iaitu Dato’ Tony Fernandis . Saya tidak mahu mengulas tentang apa yang beliau lakukan untuk mencapai kejayaannya sekarang tetapi pandangannya tentang apa erti “pendidikan” cukup menyentuh hati saya. Beliau menyebut seperti berikut:

“Education is also about sports,interaction, about learning how to work as a team, about leadership. And we do not put enough emphasis oon the sport…. Two is art, drama and music. That’s where you gain a sharing of culture and breaking down the invisible barriers”.

Nah ! inilah erti pendidikan yang beliau fahami , yang saya cukup bersetuju. Dari dulu lagi semenjak di universiti sentiasa saya war-warkan perlunya pendidikan itu dilihat secara lebih luas, luas dalam erti kata bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi dalam semua bidang manusiawi sastera, seni, budaya , interaksi , sifat kendiri dan sebagainya. Beberapa tokoh politik ketika dulu mempromosikan istilah “renaisance man” manusia sempurna dan insan serba boleh. Inilah sepatutnya menjadi dasar dan objektif pendidikan negara, bukan hanya tertumpu dan tertancap pada berapa banyak A’s anak-anak perlu dapat dalam peperiksaan.

Memanglah saya tidak rasa hairan mengapa Tony Fernandis sekarang sgt berjaya kerana pada asasnya beliau mempunyai perspektif yang betul dalam perniagaan, usaha dan paling penting beliau mengetahui apa ertiya pendidikan. Bukanlah seperti sesetengah pihak yang sanggup menukar nama kementerian tertentu dari pendidikan ke pelajaran. Harap mereka ini dapat menuntut dengan Tony.

Angkasawan #2: Adik Angkasawan Meninggal

Baru saya dapat tahu sebentar tadi …bahawa adik Sheikh Muszaphar telah meninggal dunia di kawasan rumah saya Taman Desa semasa membaca suratkhabar hari ini. Menurutnya beliau meninggal dunia apabila terlanggar tiang apabila hendak masuk ke sebuah restoran. Punca beliau meninggal dunia agak menghairankan… hairan bin ajaib bagaimana adiknya boleh terlanggar tiang di restoran tersebut lantas meninggal dunia…ini menimbulkan banyak persoalan di dalam kotak fikiran saya asbab beliau meninggal dunia . Mengapa ya?

« Older entries

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.