Islam Kesejahteraan Untuk Semua Manusia

Islam “Rahmatan Lil Alamin” . Islam adalah rahmat untuk semua manusia. Perkataan yang mudah tetapi ramai yang masih belum faham. Perlu diingat sebagai Muslim kita amat dituntut melakukan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, bangsa, warna kulit dan agama.

Melakukan keadilan untuk semua adalah tangguungjawab seorang Muslim. Di negara Malaysia ini majoriti masyarakatnya adalah Islam. Kuasa politik masih di pegang oleh orang Islam. Perlu untuk kita memastikan semua yang berlindung di negara kita mendapatkan keadilan.

Jika seorang Muslim mampu melaksanakan keadilan dengan bijaksana maka saya pasti Islam akan dipandang lebih tinggi.

Saya tidak mahu mendengar ada di kalangan orang bukan Islam mempertikaikan seruan azan di negara ini dan menghormati syiar Islam ini kerana Agama Rasmi adalah agama rasmi negara ini dan saya yakin orang bukan Islam dapat memahami perkara ini.

Begitu juga , orang Islam perlu memastikan orang yang bukan Islam juga dapat menganut dan beribadat dengan bebas di negara ini dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Jangan di roboh tempat peribadatan mana mana agama sekali pun , kecuali selepas perbincangan dan konsultasi.

Dalam aspek ini rumah-rumah ibadat hatta masjid sekali pun tidak boleh dibina secara haram. Perlulah ianya mendapat kebenaran. Pihak berkuasa negeri perlulah mentadbir hal ini dengan adil dan memberikan penerangan sebaiknya kepada masyarakat.

Masih banyak isu lain yang lebih penting dalam membangunkan negara ini, kita sudah tidak mampu untuk membincangkan isu titik bengit terutama isu hubungan antara kaum di mana kita sudah merdeka 52 tahun. Isu bahasa, isu agama Islam sebagai agama rasmi, hak hak melayu dan bumiputera dalam perlembagaan, hak hak bukan melayu Islam semuanya sudah selesai kecuali bagi mereka yang cuba menggunakan isu kaum ini bagi menimbulkan suasana gawat kerana kuasa.

Hidup dalam Dunia Persepsi

Apa-apa pun saya ucapkan tahniah Mawi dan Ekin atas perkahwinan mereka, moga bahagia ke anak cucu. Kena juga kita ikuti perkembangan semasa, nanti kata tak sedar apa yang berlaku sekeliling. Benda-benda popular dan populis kita kena ambil pusing juga, maklumlah hidup dalam suasana “postmodern” semuanya bersifat popular, dan relatif. Persepsi adalah segala-segalanya. Tak kisah jika persepsi menjadi mantra manusia zaman ini. Hati tidak lagi penting apa yang penting persepsi! persepsi! dan persepsi!.

Persepsi biarlah nampak hebat walaupun papa. Biarlah “glam” walau kedana. Biarlah berhabis sebab kita popular. Asasnya kita kembali kepada agama. Apa kata Rasul, apa-apa pekerjaan pun bermula dengan niat yang tulus. Paling sedih jika diri kita dimanipulasi tanpa kita sedari. Biarlah hidup kita bermaruah tanpa dimanipulasi oleh mana pihak-pihak. Bagaimana hendak hidup bermaruah? Sudah tentu hidup dengan penuh integriti dan tidak korup. Asasnya apa tentulah niat yang tulus. Semua pekerjaan hendak dilakukan bermula dengan niat yang tulus barulah hasilnya berkat. Apa-apa pun perkahwinan itu adalah suatu perjalanan yang panjang dan bukanlah suatu destinasi!

Pusing-Pusing Hujung Minggu

Digantung Kemas "Untuk Pencerahan"Digantung Kemas

Macam biasa bila tiba sahaja hujung minggu , banyak aktiviti-aktiviti sampingan yang akan aku lakukan. 5 hari kerja dipejabat digunakan waktu itu sungguh-sungguh melangsaikan kerja-kerja hakiki. Hujung minggu ialah hari rehat, hari senggang dan hari appresiasi kepada seni dan budaya bagi aku. Petang tadi pusing-pusing sekitar wangsa maju. Lihat-lihat kiri kanan depan belakang kononnya hendak mencari sebuah basikal mountain bike. Dengar kata ada mountain bike jual murah di satu simpang depan PETRONAS mampir kepada simpang masuk wangsa melawati. Terus sahaja ke sana kerana sebelum ini sudah pusing-pusing mencari mana tahu harganya kali ini benar-benar murah dengan spefikasi yang dikehendaki. Prasyaratnya “gear” basikal mesti keluaran SHIMANO, brek cakera dan penyerap hentakan depan dan belakang. Ikut belanjawan poket tidak mahu lebih daripada satu ribu ringgit. Pusing sekitar kedai emm tiada yang menarik hati …tak mengapa beli sahaja di Bangsar minggu hadapan bila gajinya masuk. Di Bangsar semuanya ada , kedainya agak profesional di mata. Semua barangan berkaitan basikal ada dari penutup kepala sehinggalah kepada rantai basikal dan barang-barang ganti seperti rangka tayar dll.

Setelah bosan terus sahaja ke sebuah kedai India Muslim di belakangnya …nikmati apa lagi nasi kandar dan segelas teh ais. Eh, Imuda pun minum disini. Pelawak terkenal dan bagi aku hormati sangat dengan karya seninya seperti melukis. AKu meminati imuda bukan kerana lakonan atau pengacaraan tetapi lebih kepada bakat melukisnya.

Dah ingat pasal lukisan, terus sahaja aku terpandang sebuah kedai lukisan di sebelah kedai India Muslim, terus masuk dan lihat-lihat lukisan bersesuaian untuk dipamer di dinding rumah. KOnsepnya? Ya mestilah suasana “renaissance” zaman pencerahan di mana manusia berfikir secara rasional untuk kemajuan. Pandang punya pandang ada satu lukisan yang menarik hati! Tanpa fikir panjang terus sahaja beli bawa masuk ke kereta dan terus pandu pulang. Ya Lukisan. Seni budaya jangan dilupa . Petang Ahad ini aku lebih appresiasi kepada seni lukisan. Manusia menyuarakan apa yang terkandung dalam kotak fikir melalui lukisan. Jika dulu tiada fotografi maka lukisan menjadi tempat manusia meluahkan perasaan dan kekalutan..eh kekalutan. Takkan tak tahu pada masa itu di Itali , ramai tokoh tkoh hebat seperi Machievalli dan Francis Bacon yang sentiasa kalut berfikir mencorak keadaan masyarakat pada masa tersebut. Ya..lukisan berlatarbelakangkan kota semasa zaman pencerahan menjadi pilihan hati. Memang hari ini hari apresiasi seni ku.

Sufiah: Adakah ini Kebebasan Mutlak?

Dari kecil lagi Sufiah telah hidup di dalam suatu sistem kehidupan berstruktur (“regimented”) yang disusun oleh ayahandanya bagi tujuan dan kecapaian akademik. Natijah dari kehidupan “ala sparta” ini terbukti apabila beliau berjaya memasuki institusi tersohor Oxford pada usia 13 tahun. Hidupnya dengan satu tujuan , nombor, kegemilangan dan dunia akademia. Tiadanya rona-rona  kehidupan biasa yang sepatut dan sewajarnya dikecapi oleh anak remaja yang seusia dan sebaya, sebaliknya Sufiah telah dinafi “fitrah” beliau sebagai anak remaja untuk dikasihi dan disayangi tanpa dibebankan dengan sesuatu yang berat dan sukar untuk digulatinya hanya kerana nafsu kegemilangan seorang bapa.

Akhirnya pada usia ke-23 yakni 10 tahun selepas kehidupan penuk struktural ini beliau akhirmya memberontak dan rasa ingin bebas menakluk diri. Sedikit demi sedikit pengisian hidupnya dengan agama, nombor dan cara hidup “timur” telah dianggap olehnya sebagai suatu peraturan berat yang menyiksakan batin. Beliau keliru kerana hasil dari tekanan seorang bapa yang ingin melihat anak memnjadi “luar biasa” rupa-rupanya telah mendera emosi dan pemikiran Sufiah.

Sufiah sedar peraturan dan tatacara yang dihadapkan kepadanya selama  ini tidak dianggap Sufiah sebagai dirinya tetapi dianggap sebagai penyiksaan batin yang perlu disesalkan. Pada umurnya yang ke-23 Sufiah telah “membebaskan” dirinya dari segala peraturan dan tatacara yang membungkam hidupnya selama ini. Sufiah telah menzahirkan kebebasan ini dengan melakukan sesuatu yang dianggap masyarakat sebagai jijik. Sufiah sekarang ini benar-benar “bebas”…hatta bebas melakukan apa sahaja tanpa perlu dihimpit dengan batas-batas peraturan atau moral. Biarlah Sufiah menikmati kebebasan ini dahulu , lakukanlah apa yang Sufiah hendak lakukan, biarlah Sufiah mengekspresikan dirinya…suatu hari nanti  selepas Sufiah sudah merasa nanar dengan “kebebasan” ini, Sufiah akan kembali sedar kerana saya yakin asas dan akar Sufiah masih kukuh, insyallah Sufiah akan kembali.

Dialektika Faham Sufisme dan Falsafah #4

Saudara Imran,

Saya senang jika wacana kita berkenaan sufisme berteraskan sumber “primary” seperti yang sdr sebutkan di atas. Cuma mungkin tersebut di dalam Bahasa Arab dan agak sukar untuk mendapatkan tarjamahannya di dalam Bahasa Inggeris atau Melayu.

Ya kembali kepada Schoun antara tulisannya yang awal ialah berkenaan mauduk “The Transcendent Unity of Religions”. Mungkin tajuk ini ialah tajuk yang paling sensitif terutama di Malaysia. Ini dibuktikan dengan pengharaman buku yang di edit oleh oleh sdr Mustakim “Islam dan Pluralisme”.

Menisbikan sesuatu perkara mungkin agak berbahaya terutama kepada anak muda yang tidak ada asas agama Islam yang kukuh. Penisbian ini membuatkan umat gawat dan keliru akan hakikat kebenaran.

Saya mula teringan perjuangan “the Three Gangs” iaitu Socrates, Plato dan Aristotle yang bersusah payah berdialektika dan membuktikan kepada raktat Athens (Greek) bahawa adanya kebenaran yang hakiki dan menolak fahaman Nisibi/perenial ini.

Misalnya Socrates bisa sahaja memberikan dalil bahawa untuk memesan kepada seorang tukang kursi untuk membuat sebuak kerusi tidak perlu kita katakan begini:

“Wahai tukang kerusi bolehkah saudara buatkan sebuah kerusi yang ada empat kaki dan satu penyandarnya…”

Nah, jelas sekali jika ini lah yang dilafazkan maka sudah tentu ianya janggal sekali. Cukuplah kita berbicara begini:

“Wahai tukang kerusi bolehkah saudara buatkan saya sebuah kerusi?”

Ya, lebih mudah begitu tukang kerusi sudah memahami kehenadak si pemesan kerana semua orang tahu bahawa kerusi itu sifatnya ada 4 kaki dan penyandarnya.

Inilah kaedah dialektika dan logika yang cuba diterapkan oleh Socrates kepada penduduk Athens, bahawa ada perkara yang dikatakan hakiki dan menolak falsafah perenial dan kenisbian.

Saya yakin kembalinya falsafah perenial ini membawa kita kezaman Greek dahulu di mana Socrates, Plato dan Aristotle sudah berjuang habis-habisan untuk menentangnya dan saudara juga tahu akibatnya Socrates diracun.

Maka kita mungkin boleh bersetuju perenialisme dan nisbi tidak dapat diterima di dalam kerangka Al-Quran dan Islam.

Jamizal
9.40 a.m.
PUTRAJAYA

1:27am Feb 10th
Saudara Jamizal,

Saya baru saja pulang dari Batam. Berlibur bersama keluarga sempena cuti Tahun Baru Cina.

Sumber-sumber primary yang saya sebutkan itu semuanya sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris ataupun Indonesia (mungkin sukar dicari dalam bahasa Melayu kerana sememangnya kita tahu wacana keagamaan di Malaysia/Singapura agak lembab dan keterbelakang).

Mengenai ‘bahaya’ (atau mungkin lebih tepat ketakutan) terhadap kekeliruan yang mungkin berlaku pada anak-anak muda yang tidak kuat asas agama, ianya sudah biasa didengari dan terlalu sering dicanangkan oleh setiap kelompok yang malas berdialetika dan berhujah. Bukankah lebih mudah disenyapkan dan dikontrol setiap perbezaan pendapat agar tidak menggoncangkan status quo? Saya kira, sikap sebegini hanya takut pada bayang-bayang dan menunjukkan ‘insecurity’ terhadap keyakinan dan pendirian sendiri. Tetapi, bukankah al-Qur’an sendiri mengatakan “telah nyata kebenaran dari kesesatan” dan Nabi sendiri berpesan bahawa umumnya, umatnya secara majoriti tidak akan bersetuju pada kesalahan (dari situ timbul konsep Ahl al-Sunnah wal-Jamaah)? Maka apa perlu di-censor? Kalau yang men-censor itu, pasti yang punya kuasa dan kepentingan. Maka tafsir Islam yang mana dan oleh siapa yang wajar dipertahan dan yang lainnya diberangus dan dilenyapkan? Saya kira itulah persoalan yang cuba diterokai oleh El Fadl di dalam bukunya Speaking in God’s Name. Ironisnya, Socrates mati dibunuh atas alasan sama – iaitu, sang Raja menganggap Socrates “merbahaya” dan “meracunkan” minda anak-anak muda dengan persoalan-persoalan yang dibawanya melalui apa yang saudara sebutkan “dialektika”. (Sebenarnya, ada perbezaan antara ‘dialektika’ – yang dikonsepsikan oleh Karl Marx, dengan teknik Socrates – iaitu, disebut sebagai teknik ‘elenchus’.)

Mengenai soal adanya kebenaran hakiki, saya kurang mengerti apabila saudara kaitkan dengan perennial philosophy. Bukankan perennial philosophy itu sendiri memegang kuat pada konsep adanya kebenaran hakiki? Saya juga tidak mengerti apabila saudara kaitkan pula dengan persoalan falsafah antara “names” and “essences” – atau soal ontology – mengikut falsafah Plato/Yunani. Apabila saudara mengatakan Socrates, Plato dan Aristotle menentang falsafah perennial, terus-terang saya tidak dapat “connect” argument saudara (mengikut pemahaman falsafah Yunani yang saya pelajari waktu pengajian saya – yang kebetulan dalam bidang falsafah Barat).

Mungkin saudara dapat jelaskan dengan lebih lanjut?

6:34pm Feb 10th
Saudara Imran,

Tentu saudara gembira selepas libur sempena Tahun Baru Cina. Saya juga kebetulan didatangi oleh keluarga dari Kedah dan kebetulan saya mengadakan majlis kecil untuk bapa saya yang menyambut harijadinya yang ke-59.

Saya ucap terima kasih di atas kesudian saudara menerangkan lebih mendalam tentang mauduk yang kita sedang bicarakan. Saya secara peribadi memanglah tidak bersetuju dengan pengharaman sebarang buku di Malaysia. Tetapi jika dilihat di dalam kerangka Perlembagaan Malaysia, kerajaan bertangunggjawab memastikan umat Islam di Malaysia (yang tidak semuanya membaca dan mengamati sesuatu isu dengan objektif) tidak terpesong dengan doktrin atau ajaran yang “menyimpang”. Artikel 11(4) membenarkan setiap individu mengembangkan agama mereka tetapi tidak mengembangkan agama lain selain Islam kepada umat Islam di Malaysia.

Atas premis ini maka kerajaan bertanggungjawab bagi memastikan bahan bacaan yang diterbitkan tidak menggugat akidah Umat Islam. Saya faham tidak ramai daripada kita yang mempunyai asas-asas agama Islam yang kukuh. Mereka mungkin belajar agama pun agak lewat dan berpandukan buku-buku yang ditulis oleh orang yang bukan ahlinya.

Misal yang mudah mungkin kita boleh membandingkan rujukan apakah yang digunakan oleh saudara untuk mengetahui dan mendalami kisah hidup Rasulullah S.A.W. Buku the LIfe of Prophet yang dikarang oleh Martin Ling? Kahlil Gibran? Ramadan Al-Buty atau di Nusantara ini oleh Hamka sendiri.

Rujukan awal kita sudah tentu berbeza dan pengetahuan kita terhadap sesuatu mauduk di dalam Islam juga turut berbeza. Tetapi saya kira bagi pihak kerajaan mereka lebih melihat menjaga agama Islam dari sudut rakyat terbanyak. Tidak ramai umat Islam yang membaca dan mengkaji, maka apa yang paling mudah memastikan masyarakat Islam berpegang kepada perkara-perkara yang sudah dipersetujui oleh umat Islam terbanyak yakni 5 rukun Islam 6 Rukun Iman bagi memastikan perpaduan Umat Islam dapat dibentuk dan tiadanya kontroversi pemikiran yang boleh menggugat perpaduan umat Islam. Saya kira saudara tentu sahaja bersetuju kerana perkara ini dihuraikan panjang lebar oleh El-Fadl di dalam bukunya The Great Theft Wrestling Islam from the Extremist di dalam Bab 5 m/s 113.

Ya berkenaan persolaan saudara berkenaan persoalan maka mengapa saya katakan falsafah perenialisme bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Socrates tentang adanya kebenaran hakiki. Saya ingin menyorot kembali akan metod Socrates mencari kebenaran dengan menggunakan induksi dan definisi bagi menangkis golongan Sofis yang kebanyakannya orang politik dan berkepentingan.Mereka (aliran sofisme) mulai mengubah pandangan falsafah dari kosmos ke manusia sebagai makhluk yang berpengetahuan dan berkehendak. Aliran sofisme ini terlalu mengemukakan pendirian yang subjektif, relatif dan skeptis.

Maka Socrates timbul bagi membantah aliran ini dan mengatakan tiadanya perkara yang relatif dan subjektif. Falsafah perenialisme ialah faham yang subjektif dan bersifat subjektif. Mislanya Schuon dalam bukunya The Sufism: Veil and Quintessence menghuraikan sufime dengan mencampuradukkanya dengan ajaran Buddhisme dan Hinduisem jika tidak mana mungkin konsep atma, maya dan nirvana digunakan terus menerus dalam menerangkan konsep sufisme ini.

Paling ekstrim idea berkenaan kehidupan di label dan dikategorikan mengikut kategori faksafah hindu Brahmin, Kashtriya, Vaishiya. Ini boleh saudara lihat dihuraikan bercambah di dalam penulisan Schuon.

Sekarang mungkin saya tidak hairan mengapa beliau juga mempawa konsep kesatuan agama kerana beliau bisa sahaja menganggap semua agama membawa kepada nilai yang baik.

Wallahualam.

Dialektika Faham Sufisme dan Falsafah #3

AMAT-AMATI: 
Saudara Imran,

Terima kasih atas cadangan deretan mauduk yang membicarakan sufisme secara mendalam. Sufisme mula diketengahkan apabila al-Hallaj melafazkan perkataan ana Al-Haq di hadapan pemerintah Abbasiyah. Akibatnya beliau dihukum mati. Saya kira lafaz ini membuktikan bahawa faham “ontological monism” atau lebih dikenali sebgai wehadatul wujud mula meresap masuk dalam fahaman umat Islam.

Agama lain juga turut tidak terkecuali mempunyai fahaman begini seperti Nirvana dan Atma yang mengutarakan konsep kesatuan “Unity” dengan pencipta. Bermula dengan Al-Halaj maka beberapa cendekiawan Muslim terpukau dengan faham ini dan Sufisme mula merebak dengan beberapa aliran faham yang rencam dan pelbagai.

Untuk mencapai kesatuan dengan Pencipta ini ialah objektif utama para penganut bagi mencapai kebahagiaan abadi dan “”ultimate Truth”. Maka golongan sufisme mengutarakan pelbagai jalan dan “salik” dan tarekat bagi mencapai kebahagiaan abadi tersebut.

BUat masa ini saya lebih mula mendalami faham sufisme dengan menelusuri kembali pemikiran Ibn Arabi, kemudian Ar-Rumi dan menyinggug sedikit Syed Hussain Nasr dalam sebuah karya Frithjof Schuon pemikir falsafah Perancis abad ke-20 yang mengutarakan pemikiran falsafah perenialisme.

Saya baru menghadam setengah idea beliau dalam bukunya Sufism:Veil and Quintessence dan setakat ini saya kira beliau hanya pengkaji Sufisme bukan pengamalnya. Lontaran idea beliau belum kukuh dan ada seikit kekeliruan yang jika saya huraikan mungkin tidak cukup untuk saya coretkan disini.

Mungkin saudara boleh mengulas lanjut akan konsep wehdatul wujud ini vdar aspek bagaimana faham ini timbul dan adakah ianya terpahat di Al-Quran?

12:27am Feb 8th
Saudara Jamizal,

Amat selesa saya berwacana dengan saudara akan hal-hal sebegini.

Ya, al-Hallaj merupakan salah seorang tokoh Sufisme yang terkenal. Tetapi saya anggap beliau sebagai representasi satu corak Sufisme yang saya gelar sebagai “metaphysical Sufism”. Di dalam corak Sufi seperti ini boleh juga kita masukkan tokoh-tokoh seperti Ibn ‘Arabi. Fahaman wahdatul wujud merupakan formulasi metafisik kelompok ini.

Ada juga corak Sufisme yang dikenali sebagai “Practical Sufism”. Sufisme ini yang paling dikenali golongan massa – iaitu di dalam bentuk tarekat dan segala macam ritual dan ibadat-nya.

Yang ketiga, ialah corak Sufisme yang saya gelar sebagai “Ethical Sufism”. Sufisme corak ini menekankan aspek-aspek spiritual dan moral-etis. Antara tokoh yang mungkin dapat kita golongkan dalam corak Sufisme ini ialah Sa’adi, Hakim Sanai dan juga Rumi.

Mungkin ada satu lagi corak Sufisme yang dapat kita lihat – “Orthodox Sufism”. Sufisme ini mengandungi aspek-aspek dari ketiga corak Sufisme yang disebut diatas, tetapi sudah diselaraskan oleh pemahaman ortodoks kelompok ulama. Sufisme seperti ini mungkin dapat kita lihat dalam karya-karya al-Ghazali. Saya juga menganggap karya Shah Wali-Ullah dan Ahmad Sirhindi sebagai antara tokoh Sufisme ortodoks, walaupun yang dua akhir ini lebih cenderung pada unsur yang boleh kita sebut sebagai “Reformed Sufism”. Dalam kelompok Reformed Sufism ini, saya menganggap Hamka sebagai salah seorang tokohnya (ini disebut oleh Nurcholish Madjid sebagai “Neo-Sufisme” juga).

Mengenai Seyyed Hossein Nasr, saudara tepat menganggap beliau sebagai salah seorang tokoh jalur falsafah yang dipanggil “perennial philosophy”. Antara proponent falsafah ini ialah guru Nasr sendiri, iaitu Fritjorf Schuon. Schuon sendiri mengenali falsafah ini melalui satu lagi tokoh besarnya, Rene Guenon. Tapi, faham Sufisme-nya dipelajari dari tokoh Sufi, Shaykh Ahmad al-Alawi (Schuon mengambil ba’iah darinya dan mengikut tarekatnya). Jadi, tidak tepat jikalau saudara katakan Schuon hanya pengkaji ide dan bukan pengamal Sufisme. Mengenai kekeliruan ide-ide Schuon sepertimana yang saudara katakan, saya kira ianya boleh diperdebatkan. Saya sendiri tidak berapa setuju dengan sebahagian dari ide-ide-nya. Kita boleh membincangkannya di lain waktu.

Mungkin saya juga boleh usulkan saudara kaji langsung beberapa tulisan awal ahli-ahli Sufi. Jadi, pemahaman kita langsung ke “primary sources”. Antara kitab-kitab awal Sufisme ialah: Abu Nasr al-Sarraj (al-Luma’), Abu Bakr al-Kalabadhi (Kitab al-Ta’aruf li-madhaab ahl al-tasawwuf), Syed Ali ibn Uthman al-Hujweri (Kashful Mahjub), Ibn Ata Illah (Kitab al-Hikam) dan Abd al-Karim ibn Hawazin al-Qushayri (al-Risala).

Mengenai soalan saudara supaya dikupas faham wahdatul wujud ini, akan saya cuba di lain waktu. Saya perlu merujuk kembali pada tulisan-tulisan mengenainya supaya tersusun perbincangan nanti.

~imran

Dialektika Faham Sufisme dan Falsafah #2

Amat-Amati:

“Oh Ya tentang Sufisme, Wahabi menganggap Sufisme sebagai is “..was a Persian import; belief in the intercession of saints and veneration of gravesites; Turkish import; and rationalism and philospophy a Greek import” page 46-47.

Saya kategori idea ini sebagai ekstrim kerana ianya terlampau detail dan mencelarukan perkara yang sepatutnya tidak dicelarukan. Perlepasan diri mereka dari dunia materi tidak cocok dengan tuntutan Islam yang syumul.”

MOHAMED IMRAN:

Terima kasih, Jamizal. Insya Allah, akan saya sampaikan salam pada teman-teman lain.Mengenai kutipan El Fadl, saya sudah ketemu di mukasurat 46-47. Ya, itulah kritik Fadl yang kuat – bukan terhadap Sufisme, tetapi terhadap puritanisme Wahhabi. Kalau dibaca dengan teliti, El Fadl menganggap sikap Wahhabi yang menolak Sufisme atas dasar ianya dianggap asing dari Islam, sebagai suatu kecenderungan ekstrim. Dalam erti kata lain, El Fadl mengkritik Wahhabisme, bukan Sufisme. Ini pendirian El Fadl yang konsisten di dalam kesemua tulisan-tulisannya – contohnya, The Place of Tolerance in Islam dan And God Knows His Soldiers.

Tetapi, ini tidak juga bermaksud Sufisme itu bebas masalah. Yang penting, kita faham mazhab-mazhab Sufi yang ada dan kecenderungan-kecenderungan mereka yang berbeda-beda. Saya kira, sifat toleran, inklusif dan aspek-aspek tazkiyatun nafs mereka itu bisa saja dipuji. Tetapi kecenderungan bebas dunia atau apa yang disebut sebagai “otherworldliness” memang bermasalah. Di dalam hal ini, ada tulisan-tulisan yang saya kira baik dan seimbang dalam menilai aspek-aspek Sufisme/spiritualitas. Sebagai contoh, tulisan Syed Naquib al-Attas (Some Aspects of Sufism in the Malay World) wajar diberi perhatian. Ianya suatu tulisan yang bermutu dalam menilai Sufisme dunia Melayu. Saya juga merekomendasikan tulisan klasik Muhammad ibn Miskawayh (Tahdhib al-Akhlaq) yang memberi penilaian seimbang akan aspek spiritual dan pertanggungjawaban kita di dalam masyarakat. Satu lagi tulisan klasik dunia Melayu yang penting dikaji semula ialah Taj-us-Salatin oleh al-Jauhari. Tulisan al-Jauhari ini berbeza corak Sufisme-nya daripada yang lain – contoh Hamzah Fansuri yang terlalu “otherworldly” dan kerapkala anti-budi (akal).

Kalau saudara berminat, tulisan Fazlur Rahman (Revival and Reform in Islam) juga bagus sebagai permulaan mengkaji perkembangan Sufisme – malah kritik terhadapnya. Juga buku oleh J. Spencer Tirmingham, The Sufi Orders in Islam.

Saya kira, Sufisme berkembang mengikut perubahan sosial. Oleh itu ada berberapa jalur yang harus diakui. Ada yang baik diterima-pakai, ada yang merosak. Terpulang pada setiap individu menilai mengikut pemahaman masing-masing.

~imran

Jangan Takut dengan Schuon.

Siapa Schuon? Pemuka Falsafah Perenialisme. Cuba kembali seperti golongan Sofis pra Socrates? Akan aku huraikan nanti…tunggu…

Dialektika Faham Sufisme dan Falsafah

 

Baru-baru ini saya ketemu seorang teman dari Singapura yang intelektual dan kawakan. Namanya Mohamed Imran, kuat pembacaannya dan mempunyai ijazah pertama di dalam bidang falsafah barat. Selepas tidak ketemu beberapa lama kami terus berhubung melalui teknologi “Facebook”. Kami terus berdialektika tentang falsafah dan isu-isu lain yang berkaitan. Sengaja saya turunkan dialektika saya dengan teman ini di dalam ruang ini untuk manfaat semua. Mudah-mudaham ada sedikit pengalaman dan pandangan hidup yang dapat kami kongsi.

MOHAMED IMRAN: 

Salam, Saudara Jamizal.

Nice meeting you that day at KLCC, walau seketika. I wish we had more time to sembang2.

Btw, I’ll be coming to KL again next weekend for DBP’s lecture by Dr. Chandra Muzaffar. Perhaps we can meet for coffee on Saturday night?

I’ve checked Fadl’s The Great Theft and could not locate the parts where you mentioned he identified the extreme forms of Sufism. (I found one reference in the early pages where he skimmed through the subject by saying he shall not delve into the Sufis and self-decribed secularists.) Will be grateful if you can share the page number. I pon memang tak setuju dengan beberapa kelompok Sufi di S’pore ni – tapi bukan atas dasar mereka menyimpang tetapi kerana pendirian mereka yang sempit dalam beberapa hal.

Saya juga kira pemikiran Ibn ‘Arabi, Rumi dan lain-lain harus dikaji dan diakur oleh kita sebagai sebahagian dari tradisi intelektual pemikiran Islam kita. Orientasi (baca: pluralisme) mereka memang luarbiasa dan mungkin juga bertentangan dengan pemahaman teologis kaum ortodoks. Saya sendiri, secara peribadi, tidak minat dengan metafisika ‘Arabi dan juga tidak ada selera untuk berbicara mengenai konsep-konsep wahdatul wujud dan sebagainya. Tapi, saya tidak menolak kemungkinan rangka pemikiran ‘Arabi boleh diterapkan dalam membentuk teologi plural yang benar-benar wujud dari tradisi Islam itu sendiri (dan bukan disumbat dari Barat atau dibuat-buat sewenang-wenang tanpa hujah kuat). Saya kira itulah persoalannya. Dapatkah kita memberi ruang bagi mereka yang memilih untuk mengikut paradigma pluralis ‘Arabi? Saya kira ya. Harus ada ruang kebebasan itu, walau kita sendiri mungkin tidak setuju dengan pendekatan ‘Arabi. Tapi jangan pula sampai menolak posisi penting ‘Arabi dalam tamadun perkembangan pemikiran Islam, apatah lagi menganggap dia sebagai terkeluar dari Islam! Bukankah itu membuat kita “berkata-kata atas nama Tuhan” seperti yang dikritik El Fadl?

Wallahu’alam.

AMAT-AMATI:

Terima kasih kerna sudi ketemu saya tempoh hari. Secara jujur saya katakan sudah lama saya tidak membicarakan muaduk berat seperti malam itu kerana maklumlah kerana tuntutan tugas korporat yang mencabar dan kadang -kala jika kita terlalu mengejar dan mabuk di dalamnya akan menyebabkan kita lupa akan perjuangan kita sebagai khalifah allah di muka bumi ini.

Antara lain perbincangan-perbincangan serius bagi mengenali pencipta al-khaliq kita, amal makruf nahi munkar dan keilmuwan. Saya kita perbincangan dan dialektika seperti ni boleh diteruskan lagi dengan rakan-rakan bukan sahaja antara Malaysia dan Singapura tetapi juga rakan-rakan Nusantara yang lain.

Saya mempercayai tentang kebebasan akal. Dan saya percaya saudara juga tentu arif bahawa pertembungan hati dan akal ialah pertembungan klasik semenjak antikuiti sehingga sekarang. Mereka saling bergasak dan bergaduh kadangkala hati yang menang dan kadang kala akal yang menang.

Di zaman edan sekarang ini akal sentiasa menang dan sudah tentu akan datang perlu pula kita berusaha supaya hati yang menang.
Saya terbuka dengan kebebesan akal dengan syarat kebebasan akal ini dipandu dengan wahyu dan teks dari Al-Khaliq. Interpretasinya ya bisa sahaja diperdebatkan.

Sebagai golongan muda yang faham saya yakin apa sahaja persepktif kita dalam isu atau sesuatu perkara perlu sahaja dilandaskan kefahaman itu bagi menyelesaikan permasalahan umat.

Mungkin kita boleh berbicara lagi selamat ketemu di kemudian hari.Kirim salam saya pada Alfian dan rakan-rakan Reading Group yang lain.

Jamizal
11.32 a.m.
PUTRAJAYA

Hari ini 16 Februari

 

Apa ada pada 16 Februari? Hari ini genaplah pengembaraan hidup aku selama 30tahun. Pengembaraan intelektual baru bermula, selepas agenda lima tahun dari 25-30 tahun, azam aku adalah untuk cuba menumpu pembacaan ku pada sejarah dunia.Akhirnya terserlah azam aku tidak sia-sia aku sudah mula memahami sejarah terutama falsafahnya. Walaupun lagi banyak aku meneluku lagi banyak yang ku belum tahu.

Pengembaraan intelektual aku akan diteruskan untuk 1000 hari yang akan datang(5 tahun) untuk mengkaji falsafah yang menjadi minat ku semenjak di bangku sekolah. Sebagai permulaan buat pertama kalinya aku menghabis RM77.60 untuk mendapatkan sebuah buku falsafah sufisme yang ditulis oleh Schuon iaitu Sufism: Veil and Quintessence . Beliau menjadi “guru” kepada Syed Hussain Nasr yang menetap di Amerika dan dilahirkan di Iran. Pemuka utama dalam pemikiran falsafah perenialisme. Diikuti oleh beberapa pemikir lain seperti Martin Ling dan Coomaramasamy dari India. Mereka ini ialah pengkagum Schoun seorang ahli falsafah Perancis yang berguru dengan Rene Guenon.

Pada hari lahir ku hari ini, isteri tersayang pagi ini melengkapkan premis kehidupan saya bagi 5 tahun akan datang dengan menghadiahkan sebuah buku elementary falsafah bertajuk “The Story of Philosophy: A concise intriduction to the world’s greates thinkers and their ideas” buku ini karya Bryan Magee dengan harganya RM101.

Dalam buku ini isteriku mencatatkan “Love your Brain” satu catatan falsafah yang aku kira isteriku mula sudah menunjukkan minatnya dan bakatnya. Bagiku Love your Brain mungkin membawa  kepada pemahaman rasionalisme dan emprisme seperti yang dipelopori oleh Immanuel Kant ahli falsafah Jerman yang terkenal pada zaman abad ke 16. Beliau di Malaysia menjadi kegilaan beberapa orang anak muda kita di Telawi, Bangsar.

Hari lahir aku 16 Februari ini akan diisi dengan keilmuwan. Tengahari nanti aku akan menghadiri sebuah seminar oleh Dr, Chandra yang akan membicarakan isu-isu intelektual dan petang ini aku akan bersama seorang sahabat dari Singapura untuk meneruskan perdebatan kami tentang faham perenial dan tertumpu kepada pemikiran Ibn Arabi. Untuk pengetahuan sahabat aku ini ijazah pertamanya ialah falsafah barat.

Begitulah kehidupan aku di hari lahir aku. Aku hendak mulakan agenda 5 tahun ini dengan keilmuwan. Mudah-mudahan Allah memberikan aku kefahaman seperti Allah kurniakan faham para nabi-nabi.

Terima kasih kepada semua,  keluarga ayah dan mak yang memberikan sokongan sehingga dapat aku berada seperti mana aku pada hari ini.Tanpa kebijaksanaan dan falsafah mereka mungkin aku tidak mengecapi nikmat kehidupan yang Allah kurniakan sekarang ini. Kepada isteri yang sentiasa memberi sokongan adik-adik aku yang memberi inspirasi. Para sahabat dan rakan-rakan susah senang dan kawan dengar aku yang setia di Cheras dan seluruh guru-guru ku yang membimbing aku membawa obor supaya aku tidak kegelapan.

Dan seluruh rakyat Malaysia yang ku pernah temui dan berdialektika anda semua memang hebat!

« Older entries

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.