Islam Kesejahteraan Untuk Semua Manusia

Islam “Rahmatan Lil Alamin” . Islam adalah rahmat untuk semua manusia. Perkataan yang mudah tetapi ramai yang masih belum faham. Perlu diingat sebagai Muslim kita amat dituntut melakukan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, bangsa, warna kulit dan agama.

Melakukan keadilan untuk semua adalah tangguungjawab seorang Muslim. Di negara Malaysia ini majoriti masyarakatnya adalah Islam. Kuasa politik masih di pegang oleh orang Islam. Perlu untuk kita memastikan semua yang berlindung di negara kita mendapatkan keadilan.

Jika seorang Muslim mampu melaksanakan keadilan dengan bijaksana maka saya pasti Islam akan dipandang lebih tinggi.

Saya tidak mahu mendengar ada di kalangan orang bukan Islam mempertikaikan seruan azan di negara ini dan menghormati syiar Islam ini kerana Agama Rasmi adalah agama rasmi negara ini dan saya yakin orang bukan Islam dapat memahami perkara ini.

Begitu juga , orang Islam perlu memastikan orang yang bukan Islam juga dapat menganut dan beribadat dengan bebas di negara ini dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Jangan di roboh tempat peribadatan mana mana agama sekali pun , kecuali selepas perbincangan dan konsultasi.

Dalam aspek ini rumah-rumah ibadat hatta masjid sekali pun tidak boleh dibina secara haram. Perlulah ianya mendapat kebenaran. Pihak berkuasa negeri perlulah mentadbir hal ini dengan adil dan memberikan penerangan sebaiknya kepada masyarakat.

Masih banyak isu lain yang lebih penting dalam membangunkan negara ini, kita sudah tidak mampu untuk membincangkan isu titik bengit terutama isu hubungan antara kaum di mana kita sudah merdeka 52 tahun. Isu bahasa, isu agama Islam sebagai agama rasmi, hak hak melayu dan bumiputera dalam perlembagaan, hak hak bukan melayu Islam semuanya sudah selesai kecuali bagi mereka yang cuba menggunakan isu kaum ini bagi menimbulkan suasana gawat kerana kuasa.

Kepala Lembu: Isu Toleransi

Agak mengejutkan melihat gelagat beberapa orang sahabat kita penduduk seksyen 23 Shah Alam semasa menghadiri dialog dengan Menteri Besar Selangor pagi semalam. Berlaku kekacauan dan maki memaki di antara segelintir penduduk dengan YB Menteri Besar dan wakil kerajaan negeri. Adakah mereka sengaja menimbulkan kekacauan?Sekali imbas mungkin juga.

Jika diamati peristiwa semalam kita dapat melihat umat Islam kita semakin kehilangan adab dan kesusilaan. Apatah lagi di bulan puasa ini. Toleransi amat dituntut dalam Islam. Di Malaysia semua agama mempunyai hak untuk beribadat dan mendirikan tempat ibadat masing-masing selagi mana ia di buat mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Saya fikir relokasi sebuah kuil di seksyen 19 ke seksyen 23 adalah bagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan . Dimana kuil mungkin hanya boleh dibina di tempat kaum India mencapai beberapa peratus dari populasi penduduk setempat dan di atas tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri.

Hasilnya kerajaan negeri telah membuat keputusan kuil itu sepatutnya dipindahkan ke seksyen 23. Tidak sepatutnya perkara ini ditimbulkan oleh penduduk melayu Islam di situ jika mereka memaham konsep tolerasi agama. Jika masyarakat Islam ingin membina masjid pun kita tidak mahu ada kaum kaum lain yang menghalang selagi mana ia mengikut garis panduan yang ditetapkan

Tidak perlulah kita memaki hamun dan membawa kepala lembu seperti yang berlaku kerana sudah semestinya akan menimbulkan perbalahan antara kaum. dan selayaknya tindakan seperti ini mendapat tindakan atau di ISA kan kerana sudah memenuhi suatu aspek dalam ISA iaitu tindakan yang boleh menggugat keharmonian kaum.

Dalam hal ini konsistensi tindakan oleh pihak berwajib amat dituntut, jika tiada sebarang tindakan tidak diambil kepada para demonstran kepala lembu di takuti selepas ini kaum india pula akan menghenyak al-quran dan pada masa itu kerajaan akan serba salah untuk mengambil tindakan. Tepuk dada tanya selera.

Meraikan Jiran

Konsep meraikan jiran memang dituntut dalam Islam. Baru tadi mengetuk pintu jiran dan memberikan mee goreng yang dimasak isteri. Maklumlah kena meraikan jiran dan amalan hidup bermasyarakat. Sekarang di zaman moden ini terutama di bandar-bandar besar semangat ini nampaknya semakin sirna. Mungkin kerana sibuk dengan tugasan harian atau manusia sudah berubah menjadi begitu individualistik. Cuba lihat sahaja evolusi kenduri-kendara. Jika dulu kenduri kendara ini adalah urusan suatu kampung atau melibatkan keseluruhan masyarakat setempat tetapi sekarang tidak lagi. Kenduri sekarang hanya urusan sendiri dan “katerer”. Tidak perlu jiran untuk bantu membantu. Cukuplah mereka menghadirkan diri , melaksanakan urusan dan terus usai. Semangat muafakat itu sudah tidak wujud lagi. Walauapa pun semangat ini kita harus perteguhkan kembali. Saya mengambil peluang baru berpindah ke masyarakat baru untuk mengenali jiran dengan lebih dekat. Benarlah sabda Rasulullulah antara kenikmatan hidup ialah mempunyai jiran yang baik dan beriman.

Surat Dr. Asri kepada TV3

Saya terpanggil untuk menyiarkan surat Mufti Perlis Sahibus Samahah Dr. Asri Zainul Abidin berkenaan peri pentingnya media bersikap adil dan melapor berita tanpa ulasan negatif. Kudos kepada beliau, ulamak perlu berperanan menegur! 
“Penerbit Buletin Utama TV3, Sri Pentas
No.3 Persiaran Bandar Utama,
47800 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan

Assalamualaikum wbt
Tuan,

KEPERLUAN BERITA YANG SAHIH LAGI BERSIH DARI SEBARANG PROVOKASI

Islam menuntut agar setiap insan bersifat adil dalam semua perkara. Kebencian, tidak puas hati dan permusuhan ke atas seseorang, atau sesuatu golongan tidaklah membolehkan kita membuat laporan yang tidak adil terhadap mereka. Firman Allah dalam Surah al-Maidah:8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadapsesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Dalam suasana negara sedang mengharungi kerencaman aliran politik dan pemikiran pada mutakhir ini, saya mengharapkan agar sumber-sumber berita sama ada TV, atau internet, akhbar dan seumpamanya bersifat adil dalam menyiarkan sesuatu berita. Sampaikanlah berita yang benar sekalipun mengenai pihak yang berbeza aliran dengan kita. Jauhi unsur-unsurprasangka dan provokatif. Janganlah kita mengulas secara negatif setiap berita pihak yang kita tidak bersetuju dengannya. Biarlah rakyat yang matang membuat penilaian setelah mendapat maklumat yang sahih. Jika tidak, para penyiar akan menjadi sumber fasik yang membawa berita bohong, atau melaga-lagakan antara manusia.

Sifat amanah dan telus dalam penyiaran berita adalah dituntut oleh agama dan menjadikan penyiarnya itu lebih berwibawa, dihormati dan mendapatkepercayaan umum.

Sekian,

DR. MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN”

Perpecahan Umat Islam

 Go to fullsize image

Diakhir zaman nanti umatku akan berpecah menjadi 73 golongan dan satu golongan sahaja yang benar” petikan hadis dari Rasullulah S.A.W secara jelas memberitahu umat akhir zaman ini bahawa perpecahan tidak dapat dielakkan. Keadaan yang mencabar mutakhir ini menuntut supaya umat Islam mengurus perpecahan dalaman ini jangan sampai memberikan cerminan buruk Islam kepada orang bukan Islam.  Pernah suatu ketika dahulu kita dihadapkan dengan persoalan-persoalan filasuf yang berat untuk dihadamkan terutama oleh umat Islam sendiri apatah lagi orang bukan Islam. Persoalan nazrah Islam terhadap undang-undang dan moral, demokrasi, hak asasi manusia, hubungan dengan orang bukan Islam, jihad dan terrorisme ialah antara butir-butir persoalan yang menghambat umat Islam untuk menghuraikannya oleh para cerdik pandai dan cendekiawan Islam. Persoalan-persoalan ini jika tidak dipecah dan dicanai maka ianya akan menjadi kayu ukuran tentang relevannya Islam dengan dunia sekarang. Jika adapun cendekiawan Islam yang cuba menggugah untuk menghuraikan persoalan tersebut maka akan ada pula kumpulan lain yang tidak senada dan sependapat dan mencemuh pihak yang satu lagi. 

Tiadanya wehdatul fikr inilah yang memberikan cerminan buruk orang bukan Islam terhadap Islam. Saya rasa perlu kita bersatu hati dalam perkara perkara yang saya nyatakan di atas. Jgn ada pula kelompok salafi mengatakan apa yang diamalkan haram, dan ada umat Islam yang mengatakan salafi sesat dan memecahbelahkan umat. Perkara-perkara ranting jgn diperbesarkan kerna masih banyak lagi persoalan besar yang harus umat Islam selesaikan.

Jika persoalan di atas kita masih buntu dan tidak dapat dipecahkan maka percayalah wajah buruk Umat Islam akan sentiasa berkekalan. Mari bersatu hati dan menyatukan pemikiran dan usaha bagi memberikan imej Islam yang cerlang. 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.