Peguam Negara Ambil Tindakan Protes Kepala Lembu

Salut kepada Peguam Negara kerana akhirnya bertindak untuk mendakwa para demonstran yang membawa kepala lembu di bawah Akta Hasutan. Sememangnya perkara ini dibiarkan akan menimbulkan masalah integriti yang serius. Persepsi masyarakat kepada integriti kerajaan akan bertambah buruk kerana konsistensi dalam “enforcement” undang-undang amat perlu dipatuhi.

Kita tidak mahu selepas ini ada kaum lain yang menghina Islam dan kerajaan serba salah pula untuk mengambil tindakan. Berita lanjut sila klik di bawah.

Peguam Negara akan Dakwa

Islam Kesejahteraan Untuk Semua Manusia

Islam “Rahmatan Lil Alamin” . Islam adalah rahmat untuk semua manusia. Perkataan yang mudah tetapi ramai yang masih belum faham. Perlu diingat sebagai Muslim kita amat dituntut melakukan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, bangsa, warna kulit dan agama.

Melakukan keadilan untuk semua adalah tangguungjawab seorang Muslim. Di negara Malaysia ini majoriti masyarakatnya adalah Islam. Kuasa politik masih di pegang oleh orang Islam. Perlu untuk kita memastikan semua yang berlindung di negara kita mendapatkan keadilan.

Jika seorang Muslim mampu melaksanakan keadilan dengan bijaksana maka saya pasti Islam akan dipandang lebih tinggi.

Saya tidak mahu mendengar ada di kalangan orang bukan Islam mempertikaikan seruan azan di negara ini dan menghormati syiar Islam ini kerana Agama Rasmi adalah agama rasmi negara ini dan saya yakin orang bukan Islam dapat memahami perkara ini.

Begitu juga , orang Islam perlu memastikan orang yang bukan Islam juga dapat menganut dan beribadat dengan bebas di negara ini dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Jangan di roboh tempat peribadatan mana mana agama sekali pun , kecuali selepas perbincangan dan konsultasi.

Dalam aspek ini rumah-rumah ibadat hatta masjid sekali pun tidak boleh dibina secara haram. Perlulah ianya mendapat kebenaran. Pihak berkuasa negeri perlulah mentadbir hal ini dengan adil dan memberikan penerangan sebaiknya kepada masyarakat.

Masih banyak isu lain yang lebih penting dalam membangunkan negara ini, kita sudah tidak mampu untuk membincangkan isu titik bengit terutama isu hubungan antara kaum di mana kita sudah merdeka 52 tahun. Isu bahasa, isu agama Islam sebagai agama rasmi, hak hak melayu dan bumiputera dalam perlembagaan, hak hak bukan melayu Islam semuanya sudah selesai kecuali bagi mereka yang cuba menggunakan isu kaum ini bagi menimbulkan suasana gawat kerana kuasa.

Merdeka Dalam Erti Sebenar

Pernahkah kita bertanya apakah erti kemerdekaan sebenar, bagi saya kemerdekaan yang sebenar ialah rakyat bebas melakukan segala aktiviti di negara sendiri dan mempunyai taraf kehidupan yang sempurna. Ya sempura, tak perlu mewah tetapi sempurna. Perkara asas untuk keperluan seorang rakyat dapat disediakan oleh kerajaan. Air, elektrik dan jalanraya yang bersesuaian dan tidak membebankan. Akses kepada pendidikan di semua peringkat, terutama pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah. Sebenarnya sebuah negara yang merdeka ialah negara yang boleh memenuhi keperluan masyarakat secara minimum seperti yang digariskan di dalam Triti Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yakni International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights. Jika ada masa cubalah wiki triti tersebut dan saya amat bercita cita tinggi supaya secara minimum Malaysia mampu mencapai apa yang digariskan di dalam triti tersebut. Bagi saya negara merdeka seharusnya mencapai standard standard yang digariskan di dalam triti tersebut.

Cuba kita amat amati sejauh manakah negara kita mencapai apa yang digariskan di dalam triti tersebut.

Kepala Lembu: Isu Toleransi

Agak mengejutkan melihat gelagat beberapa orang sahabat kita penduduk seksyen 23 Shah Alam semasa menghadiri dialog dengan Menteri Besar Selangor pagi semalam. Berlaku kekacauan dan maki memaki di antara segelintir penduduk dengan YB Menteri Besar dan wakil kerajaan negeri. Adakah mereka sengaja menimbulkan kekacauan?Sekali imbas mungkin juga.

Jika diamati peristiwa semalam kita dapat melihat umat Islam kita semakin kehilangan adab dan kesusilaan. Apatah lagi di bulan puasa ini. Toleransi amat dituntut dalam Islam. Di Malaysia semua agama mempunyai hak untuk beribadat dan mendirikan tempat ibadat masing-masing selagi mana ia di buat mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Saya fikir relokasi sebuah kuil di seksyen 19 ke seksyen 23 adalah bagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan . Dimana kuil mungkin hanya boleh dibina di tempat kaum India mencapai beberapa peratus dari populasi penduduk setempat dan di atas tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri.

Hasilnya kerajaan negeri telah membuat keputusan kuil itu sepatutnya dipindahkan ke seksyen 23. Tidak sepatutnya perkara ini ditimbulkan oleh penduduk melayu Islam di situ jika mereka memaham konsep tolerasi agama. Jika masyarakat Islam ingin membina masjid pun kita tidak mahu ada kaum kaum lain yang menghalang selagi mana ia mengikut garis panduan yang ditetapkan

Tidak perlulah kita memaki hamun dan membawa kepala lembu seperti yang berlaku kerana sudah semestinya akan menimbulkan perbalahan antara kaum. dan selayaknya tindakan seperti ini mendapat tindakan atau di ISA kan kerana sudah memenuhi suatu aspek dalam ISA iaitu tindakan yang boleh menggugat keharmonian kaum.

Dalam hal ini konsistensi tindakan oleh pihak berwajib amat dituntut, jika tiada sebarang tindakan tidak diambil kepada para demonstran kepala lembu di takuti selepas ini kaum india pula akan menghenyak al-quran dan pada masa itu kerajaan akan serba salah untuk mengambil tindakan. Tepuk dada tanya selera.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.