April 20, 2008 pada 5:25 pm (Hiburan, Umum)

Hari Jumaat yang lepas saya sempat membawa isteri saya menonton filem Congkak di GSC Alamanda Putrajaya. Saya jarang menonton filem Melayu, bukanlah tak suka nonton tapi tiada masa. Kalau dulu ada beberapa filem Melayu yang saya anggap “okay” saja kualitinya, tetapi saya terasa ingin benar menonton filem ini kerana previewnya yang “gempar”. David Teoh penerbitnya pada minggu lepas di dalam rancangan Ria Sentral mengatakan sesiapa yang tidak minat menonton Filem Melayu maka marilah menonton CONGKAK kerana kelainannya.
Dengan perasaan tidak sabar dan berdebar saya ikuti juga hajat isteri untuk menonton filem ini. Banyak komen yang saya dengar sebelum ini yang mengatakan filem ini seram dan lebih baik dari filem “Jangan Pandang Belakang” yang kedua-dua skripnya dipahat oleh pengarah muda Pierre.
Sepanjang 1 jam setengah di dalam panggung, seram yang saya sangkakan meleset sama sekali…filem ini masih berada di peringkat kelas bawah dari corak fikir dan jalan ceritanya. Terlalu simplistik! Hanya mampu membuatkan khalayak terkejut di sana sini dengan sistem audionya yang membingit telinga…setakat itu sahaja.
Jalan penceritaannya lemah…terlalu straight forward dan watak-watak tidak dikembangkan dengan begitu baik. Beberapa persoalan seperti berikut tidak dapat dijawab oleh filem ini:
a) Mengapa Congkak dan Rumah itu berpenunggu?
b) Apa kaitan antara penunggu congkak dengan penunggu rumah tersebut?
c) Mengapa penunggu (Ruminah Sidek) suka benar dengan Lisa?
d) Apa kaitan Lisa dengan Penunggu itu?
e) Apa kaitan rumah itu dengan Bomoh (M. Rajoli)?
f) Apa misteri di sebalik wujudnya watak Bomoh?
g) Mengapa perlu Ahmad Idham turut berlakon di dalam filem ini sedangkan dia adalah pengarah filem?
Secara kesimpulannya, filem ini tidak berkualiti dan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata dengan seramnya hanyalah terletak kepada kualiti bunyinya…tolong jangan bodohkan filem melayu lagi contohilah beberapa filem seram barat yang ada corak fikir seperti The Others lakonan Nicole Kidman dan beberapa karya M. Shymalan.
5 komen
April 13, 2008 pada 4:46 pm (Politik, Undang-Undang)
Tags: Islam, Ketuanan, Melayu, Perlembagaan
Saya agak gelihati melihat gelagat beberapa orang tokoh melayu yang berdegang-degang menyuarakan ketuanan Melayu. Selepas rakyat bersuara melalui peti undi tempoh hari tanpa mengira kaum dan agama, beberapa kelompok yang kononnya cintakan ketuanan Melayu mengadakan rapat dan pertemuan itu dan ini bagi membincangkan masalah Melayu. Bagi mereka melayu sudah terpinggir kerana gasirnya kerusi Barisan Nasional di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri. Bagi mereka ketuanan Melayu diukur melalui berapa banyak kerusi yang pemimpin Melayu pegang di Parlimen mahupun DUN.
Sebenarnya, paradigma itu silap dan terpesong. Ketuanan Melayu bermaksud kembali mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan perlu direkayasa dan diletakkan di tempat yang sewajarnya. Merekayasa Perlembagaan bermakna mendaulat Islam sebagai agama persekutuan, mempertahankan hak-hak istimewa “bumiputera”, kebebasan suruhanjaya SPR dan Kehakiman dan menghormati hak asasi manusia dan institusi diraja.
Pakatan Rakyat di dalam manifesto mereka mewar-war perlunya rakyat mendaulatkan balik Perlembagaan. Setelah 50 tahun beberapa pencabulan Perlembagaan telah pun dilihat secara jelas antara lain:
a) Krisis kehakiman 1988 di mana Ketua Hakim Negara telah dipecat kerana tiadanya persefahaman dengan Eksekutif;
b) Krisis keyakinan rakyat terhadap kebebasan SPR bagi memandu pilihanraya negara ini dengan masih wujudnya beberapa perkara yang menimbulkan perbahasan seperti keperluan undi pos;
c) tiada lagi bantuan pelajaran biasiswa kepada Bumiputera ke pelajaran tinggi, kini semua hanyalah pinjaman seperti PTPTN di mana pelajar telah diajar berhutang sebaik sahaja mereka selesai pengajian;
d) Tanah rizab melayu sudah terhakis memandangkan kerajaan negeri terdahulu sudah mula menukar tanah-tanah rizab kepada tauke-tauke bagi pembangunan yang sedikit nikmatnya pada orang melayu;
e) terhakisnya kedaulatan agama Islam, ingat lagi kes the Zouq di mana pegawai agama di persalahkan kerana mengadakan pemeriksaan keatas pusat hiburan dan mendakwa umat Islam yang mabuk yang diperuntukkan dibawah Enakmen Undang-undang Islam; dan
f) Bagaimana konflik di antara pemerintah dengan Istana di dalam kes perlantikan MB di Perlis dan Terengganu melambangkan terhakisnya hormat terhadap institusi diraja.
Nota-nota di atas ialah sekian banyak pencabulan Perlembagaan yang dilakukan dan lantaran itu ketuanan Melayu semakin disanggah. Disarankan kumpulan-kumpulan cinta Melayu ini memikirkan perkara pokok yang lebih penting daripada mengadakan rapat-rapat dan perkompolan yang mendedangkan slogan semangat-semangatan yang tiada langsung faedahnya pada orang Melayu!.
Tinggalkan Komen
April 8, 2008 pada 10:34 pm (Sosial, falsafah)
Dari kecil lagi Sufiah telah hidup di dalam suatu sistem kehidupan berstruktur (“regimented”) yang disusun oleh ayahandanya bagi tujuan dan kecapaian akademik. Natijah dari kehidupan “ala sparta” ini terbukti apabila beliau berjaya memasuki institusi tersohor Oxford pada usia 13 tahun. Hidupnya dengan satu tujuan , nombor, kegemilangan dan dunia akademia. Tiadanya rona-rona kehidupan biasa yang sepatut dan sewajarnya dikecapi oleh anak remaja yang seusia dan sebaya, sebaliknya Sufiah telah dinafi “fitrah” beliau sebagai anak remaja untuk dikasihi dan disayangi tanpa dibebankan dengan sesuatu yang berat dan sukar untuk digulatinya hanya kerana nafsu kegemilangan seorang bapa.
Akhirnya pada usia ke-23 yakni 10 tahun selepas kehidupan penuk struktural ini beliau akhirmya memberontak dan rasa ingin bebas menakluk diri. Sedikit demi sedikit pengisian hidupnya dengan agama, nombor dan cara hidup “timur” telah dianggap olehnya sebagai suatu peraturan berat yang menyiksakan batin. Beliau keliru kerana hasil dari tekanan seorang bapa yang ingin melihat anak memnjadi “luar biasa” rupa-rupanya telah mendera emosi dan pemikiran Sufiah.
Sufiah sedar peraturan dan tatacara yang dihadapkan kepadanya selama ini tidak dianggap Sufiah sebagai dirinya tetapi dianggap sebagai penyiksaan batin yang perlu disesalkan. Pada umurnya yang ke-23 Sufiah telah “membebaskan” dirinya dari segala peraturan dan tatacara yang membungkam hidupnya selama ini. Sufiah telah menzahirkan kebebasan ini dengan melakukan sesuatu yang dianggap masyarakat sebagai jijik. Sufiah sekarang ini benar-benar “bebas”…hatta bebas melakukan apa sahaja tanpa perlu dihimpit dengan batas-batas peraturan atau moral. Biarlah Sufiah menikmati kebebasan ini dahulu , lakukanlah apa yang Sufiah hendak lakukan, biarlah Sufiah mengekspresikan dirinya…suatu hari nanti selepas Sufiah sudah merasa nanar dengan “kebebasan” ini, Sufiah akan kembali sedar kerana saya yakin asas dan akar Sufiah masih kukuh, insyallah Sufiah akan kembali.
3 komen
April 4, 2008 pada 11:45 am (Agama)
Saya terpanggil untuk menyiarkan surat Mufti Perlis Sahibus Samahah Dr. Asri Zainul Abidin berkenaan peri pentingnya media bersikap adil dan melapor berita tanpa ulasan negatif. Kudos kepada beliau, ulamak perlu berperanan menegur!
“Penerbit Buletin Utama TV3, Sri Pentas
No.3 Persiaran Bandar Utama,
47800 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan
Assalamualaikum wbt
Tuan,
KEPERLUAN BERITA YANG SAHIH LAGI BERSIH DARI SEBARANG PROVOKASI
Islam menuntut agar setiap insan bersifat adil dalam semua perkara. Kebencian, tidak puas hati dan permusuhan ke atas seseorang, atau sesuatu golongan tidaklah membolehkan kita membuat laporan yang tidak adil terhadap mereka. Firman Allah dalam Surah al-Maidah:8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadapsesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.
Dalam suasana negara sedang mengharungi kerencaman aliran politik dan pemikiran pada mutakhir ini, saya mengharapkan agar sumber-sumber berita sama ada TV, atau internet, akhbar dan seumpamanya bersifat adil dalam menyiarkan sesuatu berita. Sampaikanlah berita yang benar sekalipun mengenai pihak yang berbeza aliran dengan kita. Jauhi unsur-unsurprasangka dan provokatif. Janganlah kita mengulas secara negatif setiap berita pihak yang kita tidak bersetuju dengannya. Biarlah rakyat yang matang membuat penilaian setelah mendapat maklumat yang sahih. Jika tidak, para penyiar akan menjadi sumber fasik yang membawa berita bohong, atau melaga-lagakan antara manusia.
Sifat amanah dan telus dalam penyiaran berita adalah dituntut oleh agama dan menjadikan penyiarnya itu lebih berwibawa, dihormati dan mendapatkepercayaan umum.
Sekian,
DR. MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN”
Tinggalkan Komen