September 8, 2009 pada 9:00 am (Uncategorized)
Tags: kepala lembu, peguam negara
Salut kepada Peguam Negara kerana akhirnya bertindak untuk mendakwa para demonstran yang membawa kepala lembu di bawah Akta Hasutan. Sememangnya perkara ini dibiarkan akan menimbulkan masalah integriti yang serius. Persepsi masyarakat kepada integriti kerajaan akan bertambah buruk kerana konsistensi dalam “enforcement” undang-undang amat perlu dipatuhi.
Kita tidak mahu selepas ini ada kaum lain yang menghina Islam dan kerajaan serba salah pula untuk mengambil tindakan. Berita lanjut sila klik di bawah.
Peguam Negara akan Dakwa
Tinggalkan Komen
September 7, 2009 pada 5:29 am (Agama, falsafah)
Tags: Islam, rahmat, manusia
Islam “Rahmatan Lil Alamin” . Islam adalah rahmat untuk semua manusia. Perkataan yang mudah tetapi ramai yang masih belum faham. Perlu diingat sebagai Muslim kita amat dituntut melakukan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, bangsa, warna kulit dan agama.
Melakukan keadilan untuk semua adalah tangguungjawab seorang Muslim. Di negara Malaysia ini majoriti masyarakatnya adalah Islam. Kuasa politik masih di pegang oleh orang Islam. Perlu untuk kita memastikan semua yang berlindung di negara kita mendapatkan keadilan.
Jika seorang Muslim mampu melaksanakan keadilan dengan bijaksana maka saya pasti Islam akan dipandang lebih tinggi.
Saya tidak mahu mendengar ada di kalangan orang bukan Islam mempertikaikan seruan azan di negara ini dan menghormati syiar Islam ini kerana Agama Rasmi adalah agama rasmi negara ini dan saya yakin orang bukan Islam dapat memahami perkara ini.
Begitu juga , orang Islam perlu memastikan orang yang bukan Islam juga dapat menganut dan beribadat dengan bebas di negara ini dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Jangan di roboh tempat peribadatan mana mana agama sekali pun , kecuali selepas perbincangan dan konsultasi.
Dalam aspek ini rumah-rumah ibadat hatta masjid sekali pun tidak boleh dibina secara haram. Perlulah ianya mendapat kebenaran. Pihak berkuasa negeri perlulah mentadbir hal ini dengan adil dan memberikan penerangan sebaiknya kepada masyarakat.
Masih banyak isu lain yang lebih penting dalam membangunkan negara ini, kita sudah tidak mampu untuk membincangkan isu titik bengit terutama isu hubungan antara kaum di mana kita sudah merdeka 52 tahun. Isu bahasa, isu agama Islam sebagai agama rasmi, hak hak melayu dan bumiputera dalam perlembagaan, hak hak bukan melayu Islam semuanya sudah selesai kecuali bagi mereka yang cuba menggunakan isu kaum ini bagi menimbulkan suasana gawat kerana kuasa.
Tinggalkan Komen
September 6, 2009 pada 10:22 pm (Uncategorized)
Pernahkah kita bertanya apakah erti kemerdekaan sebenar, bagi saya kemerdekaan yang sebenar ialah rakyat bebas melakukan segala aktiviti di negara sendiri dan mempunyai taraf kehidupan yang sempurna. Ya sempura, tak perlu mewah tetapi sempurna. Perkara asas untuk keperluan seorang rakyat dapat disediakan oleh kerajaan. Air, elektrik dan jalanraya yang bersesuaian dan tidak membebankan. Akses kepada pendidikan di semua peringkat, terutama pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah. Sebenarnya sebuah negara yang merdeka ialah negara yang boleh memenuhi keperluan masyarakat secara minimum seperti yang digariskan di dalam Triti Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yakni International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights. Jika ada masa cubalah wiki triti tersebut dan saya amat bercita cita tinggi supaya secara minimum Malaysia mampu mencapai apa yang digariskan di dalam triti tersebut. Bagi saya negara merdeka seharusnya mencapai standard standard yang digariskan di dalam triti tersebut.
Cuba kita amat amati sejauh manakah negara kita mencapai apa yang digariskan di dalam triti tersebut.
Tinggalkan Komen
September 6, 2009 pada 11:13 am (Agama)
Tags: kepala lembu
Agak mengejutkan melihat gelagat beberapa orang sahabat kita penduduk seksyen 23 Shah Alam semasa menghadiri dialog dengan Menteri Besar Selangor pagi semalam. Berlaku kekacauan dan maki memaki di antara segelintir penduduk dengan YB Menteri Besar dan wakil kerajaan negeri. Adakah mereka sengaja menimbulkan kekacauan?Sekali imbas mungkin juga.
Jika diamati peristiwa semalam kita dapat melihat umat Islam kita semakin kehilangan adab dan kesusilaan. Apatah lagi di bulan puasa ini. Toleransi amat dituntut dalam Islam. Di Malaysia semua agama mempunyai hak untuk beribadat dan mendirikan tempat ibadat masing-masing selagi mana ia di buat mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Saya fikir relokasi sebuah kuil di seksyen 19 ke seksyen 23 adalah bagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan . Dimana kuil mungkin hanya boleh dibina di tempat kaum India mencapai beberapa peratus dari populasi penduduk setempat dan di atas tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri.
Hasilnya kerajaan negeri telah membuat keputusan kuil itu sepatutnya dipindahkan ke seksyen 23. Tidak sepatutnya perkara ini ditimbulkan oleh penduduk melayu Islam di situ jika mereka memaham konsep tolerasi agama. Jika masyarakat Islam ingin membina masjid pun kita tidak mahu ada kaum kaum lain yang menghalang selagi mana ia mengikut garis panduan yang ditetapkan
Tidak perlulah kita memaki hamun dan membawa kepala lembu seperti yang berlaku kerana sudah semestinya akan menimbulkan perbalahan antara kaum. dan selayaknya tindakan seperti ini mendapat tindakan atau di ISA kan kerana sudah memenuhi suatu aspek dalam ISA iaitu tindakan yang boleh menggugat keharmonian kaum.
Dalam hal ini konsistensi tindakan oleh pihak berwajib amat dituntut, jika tiada sebarang tindakan tidak diambil kepada para demonstran kepala lembu di takuti selepas ini kaum india pula akan menghenyak al-quran dan pada masa itu kerajaan akan serba salah untuk mengambil tindakan. Tepuk dada tanya selera.
Tinggalkan Komen
Mei 3, 2009 pada 5:21 pm (Buku)
Saya juga turut serta ke Pesta Buku Antarabangsa KL baru-baru ini.Saya beberapa tahun lepas mengambil keputusan untuk tidak berkunjung kerna kesesakan yang melampau.
Harapan tahun ini semuanya akan bertambah baik.Tetapi hampa, kesesakan di pesta buku tidak berubah hingga kurang “selera” untuk terus meninjau-ninjau.
Harapan saya perkara ini harus dilihat kembali.Cadangan saya supaya pameran buku ini dikategorikan pamerannya seperti tempat pameran khas bagi buku akademik, fiksyen dan non-fiksyen kerana mudah kebanyakkan yang hadir lebih berpusu ke ruangan buku akademik yang sudah tentu menyusahkan pihak lain yang teringin melihat buku buku yang lain.
Tinggalkan Komen
Disember 29, 2008 pada 11:43 am (Agama)
Tags: jiran, nikmat hidup
Konsep meraikan jiran memang dituntut dalam Islam. Baru tadi mengetuk pintu jiran dan memberikan mee goreng yang dimasak isteri. Maklumlah kena meraikan jiran dan amalan hidup bermasyarakat. Sekarang di zaman moden ini terutama di bandar-bandar besar semangat ini nampaknya semakin sirna. Mungkin kerana sibuk dengan tugasan harian atau manusia sudah berubah menjadi begitu individualistik. Cuba lihat sahaja evolusi kenduri-kendara. Jika dulu kenduri kendara ini adalah urusan suatu kampung atau melibatkan keseluruhan masyarakat setempat tetapi sekarang tidak lagi. Kenduri sekarang hanya urusan sendiri dan “katerer”. Tidak perlu jiran untuk bantu membantu. Cukuplah mereka menghadirkan diri , melaksanakan urusan dan terus usai. Semangat muafakat itu sudah tidak wujud lagi. Walauapa pun semangat ini kita harus perteguhkan kembali. Saya mengambil peluang baru berpindah ke masyarakat baru untuk mengenali jiran dengan lebih dekat. Benarlah sabda Rasulullulah antara kenikmatan hidup ialah mempunyai jiran yang baik dan beriman.
Tinggalkan Komen
Disember 28, 2008 pada 2:25 pm (falsafah)
Tags: ekin, hidup, mawi, persepsi
Apa-apa pun saya ucapkan tahniah Mawi dan Ekin atas perkahwinan mereka, moga bahagia ke anak cucu. Kena juga kita ikuti perkembangan semasa, nanti kata tak sedar apa yang berlaku sekeliling. Benda-benda popular dan populis kita kena ambil pusing juga, maklumlah hidup dalam suasana “postmodern” semuanya bersifat popular, dan relatif. Persepsi adalah segala-segalanya. Tak kisah jika persepsi menjadi mantra manusia zaman ini. Hati tidak lagi penting apa yang penting persepsi! persepsi! dan persepsi!.
Persepsi biarlah nampak hebat walaupun papa. Biarlah “glam” walau kedana. Biarlah berhabis sebab kita popular. Asasnya kita kembali kepada agama. Apa kata Rasul, apa-apa pekerjaan pun bermula dengan niat yang tulus. Paling sedih jika diri kita dimanipulasi tanpa kita sedari. Biarlah hidup kita bermaruah tanpa dimanipulasi oleh mana pihak-pihak. Bagaimana hendak hidup bermaruah? Sudah tentu hidup dengan penuh integriti dan tidak korup. Asasnya apa tentulah niat yang tulus. Semua pekerjaan hendak dilakukan bermula dengan niat yang tulus barulah hasilnya berkat. Apa-apa pun perkahwinan itu adalah suatu perjalanan yang panjang dan bukanlah suatu destinasi!
Tinggalkan Komen
Disember 14, 2008 pada 2:15 pm (Uncategorized)
Saya dan isteri menjemput rakan-rakan yang mengenali diri saya ke majlis bacaan yassin dan tahlil ke kediaman kami seperti butiran berikut:
Tarikh: 3 Januari 2009
Masa: 2.00 p.m.
Alamat : NO.33 Jalan P11B1/6, Presint 11
Putrajaya
Sila maklumkan kepada kami melalui komen bagi post ini sebagai persediaan.
Terima Kasih.
Tinggalkan Komen
November 23, 2008 pada 10:22 pm (Uncategorized)
Malam ini terdetik hati saya untuk mencoret sesuatu tentang perkara pokok mengenai hak asasi manusia. Saya tidak pasti samaada semua orang bersetuju bahawa hak asasi manusia itu terbatas! Perlembagaan Negara membataskan hak asasi manusia atas premis keselamatan negara, moral dan kesihatan awam.Cuba selah Artikel 5-13 Perlembagaan Negara. Bercambah hak yang diberi tetapi kemudiannya dibatasi oleh asbab-asbab di atas. Islam juga bersetuju dan cocok dengan perkara pokok di atas, hak asasi manusia itu terbatas. Dalam Islam ada hak asasi manusia berlandaskan penyelarasan antara hak asasi individu dan hak asasi masyarakat terbanyak. Perlu diimbangkan. Kerja imbang mengimbang bukan mudah, perlu kebijaksanaan atau “wisdom” dalam bahasa inggeris. Itu sebab jika ada tindakan kerajaan yang kontroversi sebagai contoh penggunaan ISA ia menjadi bahan perdebatan kerana ada pihak mengatakannya tidak wajar. Ada pihak mendakwa ISA wajar memandangkan keadaaan dan suasana semasa yang boleh merebak menjadi tidak terkawal. Ini semua memerlukan “wisdom”. Bagaimana datangnya wisdom? Sudah tentu melalui ilmu dan pengalaman. Ingat melalui ilmu ! bukan maklumat. Ada bedanya antara ilmu dan maklumat. Maklumat yang banyak belum tentu anda berilmu.
Al-Quran telah menjelaskan tiada hak asasi yang bebas sebebasnya seperti wau yang tidak bertali. Jika tidak manakan ada ayat 35-36 yang bemaksud:
“Dan Kami telah berfirman: “Wahai Adam tinggallah engkau bersama isteri engkau dalam Syurga dan makanlah kamu berdua dari buah-buahan dengan mewah di mana sahaja kamu berdua sukai, tetapi janganlah kamu hampiri pokok ini nanti akibatnya kamu berdua termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”
Sengaja saya hitamkan perkataan-perkataan penting diatas. LIhat Allah berfirman kepada Adam dan Hawa untuk menikmati apa sahaja yang Allah kurniakan di SYURGA. Masyaallah syurga sekian banyak nikmat yang tidak dapat difikir oleh kotak fikiran manusia. Tetapi ajaib ya kerana fikir saya sudah tentu tiada halangan untuk melakukan apa yang mereka suka di dalam Syurga, bersuka ria dan menikmati apa yang terhidang di depan mata tiba-tiba sahaja Allah melarang mereka untuk memakan buah khuldi. Mengapa ya? Mungkin pohon khuldi ini melambangkan larangan-larangan (restrictions) yang pasti diadakan di dalam kehidupan mereka di bumi nanti, kerana tanpa larangan , kemahuan seseorang tidak akan tumbuh, dan manusia yang mempunyai kemahuan itu tidak tidak dapat dibezakan dari makhluk haiwan yang tidak mempunyai kemahuan , dan tanpa larangan-larangan kegigihan seseorang di dalam mematuhi janji dan syarat tidak dapat diuji. Oleh itu kemahuan dan hak hak yang tidak terbatas adalah dari alam haiwan walaupun mereka berupa manusia.
1 Komen
November 16, 2008 pada 6:49 pm (falsafah)
Tags: lukisan, renaissance, seni
Digantung Kemas
Macam biasa bila tiba sahaja hujung minggu , banyak aktiviti-aktiviti sampingan yang akan aku lakukan. 5 hari kerja dipejabat digunakan waktu itu sungguh-sungguh melangsaikan kerja-kerja hakiki. Hujung minggu ialah hari rehat, hari senggang dan hari appresiasi kepada seni dan budaya bagi aku. Petang tadi pusing-pusing sekitar wangsa maju. Lihat-lihat kiri kanan depan belakang kononnya hendak mencari sebuah basikal mountain bike. Dengar kata ada mountain bike jual murah di satu simpang depan PETRONAS mampir kepada simpang masuk wangsa melawati. Terus sahaja ke sana kerana sebelum ini sudah pusing-pusing mencari mana tahu harganya kali ini benar-benar murah dengan spefikasi yang dikehendaki. Prasyaratnya “gear” basikal mesti keluaran SHIMANO, brek cakera dan penyerap hentakan depan dan belakang. Ikut belanjawan poket tidak mahu lebih daripada satu ribu ringgit. Pusing sekitar kedai emm tiada yang menarik hati …tak mengapa beli sahaja di Bangsar minggu hadapan bila gajinya masuk. Di Bangsar semuanya ada , kedainya agak profesional di mata. Semua barangan berkaitan basikal ada dari penutup kepala sehinggalah kepada rantai basikal dan barang-barang ganti seperti rangka tayar dll.
Setelah bosan terus sahaja ke sebuah kedai India Muslim di belakangnya …nikmati apa lagi nasi kandar dan segelas teh ais. Eh, Imuda pun minum disini. Pelawak terkenal dan bagi aku hormati sangat dengan karya seninya seperti melukis. AKu meminati imuda bukan kerana lakonan atau pengacaraan tetapi lebih kepada bakat melukisnya.
Dah ingat pasal lukisan, terus sahaja aku terpandang sebuah kedai lukisan di sebelah kedai India Muslim, terus masuk dan lihat-lihat lukisan bersesuaian untuk dipamer di dinding rumah. KOnsepnya? Ya mestilah suasana “renaissance” zaman pencerahan di mana manusia berfikir secara rasional untuk kemajuan. Pandang punya pandang ada satu lukisan yang menarik hati! Tanpa fikir panjang terus sahaja beli bawa masuk ke kereta dan terus pandu pulang. Ya Lukisan. Seni budaya jangan dilupa . Petang Ahad ini aku lebih appresiasi kepada seni lukisan. Manusia menyuarakan apa yang terkandung dalam kotak fikir melalui lukisan. Jika dulu tiada fotografi maka lukisan menjadi tempat manusia meluahkan perasaan dan kekalutan..eh kekalutan. Takkan tak tahu pada masa itu di Itali , ramai tokoh tkoh hebat seperi Machievalli dan Francis Bacon yang sentiasa kalut berfikir mencorak keadaan masyarakat pada masa tersebut. Ya..lukisan berlatarbelakangkan kota semasa zaman pencerahan menjadi pilihan hati. Memang hari ini hari apresiasi seni ku.
3 komen